
PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr. Afifi Saif teruja apabila melihat semangat jentera yang bersungguh-sungguh dan membara menjelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Katanya, beliau bertanding kali ini bukanlah keperluan peribadi tetapi melihat masa depan negeri Sabah yang perlu dicorak dengan kepimpinan baharu yang segar, beramanah, terutamanya dalam DUN Petagas.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera PN N.23 DUN Petagas di UDM Ulu Putatan di sini, malam ini.
“Perjuangan ini bukan tentang saya. Ini perjuangan kampung kita, anak-anak kita, ibu bapa kita, dan masa depan Petagas. Kita bangkit bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk saudara kita semua di Petagas.
“Kekuatan sebenar gerakan perubahan bukan datang daripada individu, tetapi daripada kesatuan rakyat yang mahukan masa depan lebih bermaruah, telus dan sejahtera,” ujarnya pada program yang dirasmikan oleh AJK PAS Pusat, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud itu. (Foto atas)
Beliau turut mengingatkan jentera PN di Petagas agar perlu bergerak sebagai satu keluarga besar yang membawa mesej harapan kepada seluruh penduduk, tanpa mengira latar belakang kaum mahupun kampung.
Dr. Afifi turut menegaskan bahawa pilihan raya kali ini bukan sekadar pertandingan angka dan kerusi, tetapi pertandingan masa depan serta martabat rakyat. – HARAKAHDAILY 16/11/2025




















