
KALABAKAN: Ahmad Dullah meneruskan siri ziarah miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), sakit, warga emas, ‘armalah’ dan anak yatim (MOSWAY) di Kampung Pasir Putih dan Kampung Takalan dekat sini, hari ini.
Rombongan yang diketuai beliau di kediaman Imam Norsham Ruba, disambut oleh tuan rumah sebagai tanda kesudian menerima kunjungan mereka. (Foto atas)
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu saling bertukar-tukar pendapat bersama Imam Norsham tentang isu masyarakat, pengimarahan masjid dan keperluan memperkukuh hubungan sesama penduduk.
“Alhamdulillah beliau sentiasa cergas dan ceria. Pertemuan yang begitu mesra dengan sembang santai, nasihat dan pandangan. Moga ukhuwah ini berpanjangan dan membawa keberkatan kepada komuniti kita,” katanya.
Manakala ziarah MOSWAY di Kampung Takala pula, memberi ruang kepada beliau untuk mendengar sendiri keluhan, cadangan dan pandangan penduduk kampung berhubung keperluan masyarakat.
“Sepanjang saya mendengar rintihan penduduk kampung, beberapa masalah yang dikemukakan mereka untuk perhatian pihak saya.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu penduduk di sini menyelesaikan pelbagai isu-isu yang selama ini menghantui kehidupan mereka,” jelasnya.
Penduduk yang ditemui turut menyatakan harapan agar hubungan antara pemimpin dan komuniti dapat diperkukuh melalui ziarah secara berkala itu bukan hanya musim pilihan raya sahaja.
Ahmad menzahirkan rasa berterima kasih atas kesudian pihak kampung menerima kunjungan beliau dan rombongan.
Beliau menyatakan akan terus memberikan komitmen dalam mendengar setiap rintihan serta membawa suara masyarakat setempat ke tempat selayaknya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 16/11/2025




















