Kelantan jadi rujukan pelaksanaan dasar Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan kini menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain yang ditadbir Perikatan Nasional, khususnya dalam pelaksanaan dasar-dasar Islam.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, negeri yang turut ditadbir PAS seperti Terengganu, Kedah dan Perlis juga menjadikan Kelantan sebagai contoh dalam menggerakkan dasar Islam.

“Walaupun dijadikan contoh, ia tidak semestinya diterapkan sepenuhnya di setiap negeri kerana pelaksanaannya bergantung kepada kesesuaian dan keperluan khusus negeri masing-masing,” katanya ketika berucap dalam Usrah Pimpinan PAS Kawasan Kota Bharu di Wisma PAS Kota Bharu, Berek 12.

Katanya lagi, melaksanakan sepenuhnya Islam dan perundangannya dalam negara bukanlah perkara mudah kerana ia memerlukan masa setelah sekian lama masyarakat hidup dengan undang-undang dan perlembagaan yang digubal penjajah.

“Ia adalah antara cabaran yang perlu diurus dengan bijak sekiranya suatu masa nanti PAS diberi mandat untuk mentadbir negara,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PAS.

Terdahulu, pembentang jemputan usrah, Ustaz Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, umat Nabi Muhammad SAW diiktiraf Allah kerana mengamalkan prinsip amar ma’ruf nahi mungkar, berbeza dengan umat Yahudi yang hanya mengajak kepada kebaikan tetapi berdiam diri terhadap larangan Allah.

“Amar ma’ruf dalam menegakkan Islam melibatkan seluruh sistem kehidupan termasuk politik, sosial dan ekonomi.

“Ada segelintir pihak beranggapan meniru sunnah Rasulullah SAW hanya terhad kepada pakaian, janggut dan celak, sedangkan sunnah terbesar Baginda adalah menegakkan pentadbiran Islam,” katanya.

Menurutnya lagi, amar ma’ruf mudah diterima masyarakat tetapi nahi munkar sering dipersulitkan atas alasan menjaga sensitiviti pihak tertentu atau kerana tidak tergamak untuk menegur.

Usrah bulanan itu dipimpin Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Ustaz Norazariza Mohd Alawi yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Kawasan, serta turut dihadiri Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Shaati Mat Yaman yang juga ADUN Bunut Payong. – HARAKAHDAILY 29/9/2025

- Advertisement -