Pelabur perlu dapat info terkini sebelum tawar projek

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pihak pelabur disaran meneliti terlebih dahulu latar belakang sosioekonomi negeri sebelum membentangkan sebarang cadangan projek di Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengelak cadangan dikemukakan tidak relevan dengan keperluan semasa.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat pelabur hadir dengan idea projek, tetapi sebenarnya telah lama dilaksanakan di Terengganu.

“Kalau pelabur datang bersyarah panjang lebar dengan tajuk nak buat ‘pilot’ projek reban ayam tertutup di Terengganu, awal-awal lagi kita tahu mereka tak ‘study’ (kaji).

“Reban ayam dengan sistem tertutup atau orang Terengganu panggil ‘pero ayam dalam econ’ sudah lama ada di Terengganu. ‘Pilot project’ maknanya nak buat sesuatu yang belum pernah dibuat orang.

“Kalau nak perkenalkan supaya orang lain buat maka saya lebih suka mencadangkan supaya syarikat awak buat dan mari kita sama-sama perkasakan sektor penternakan unggas di Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurutnya, situasi sama berlaku apabila ada pihak menawarkan teknologi penggunaan dron dalam sektor pertanian, termasuk untuk meracun dan membaja padi.

“Sukacita dimaklumkan bahawa sebahagian besar dari pesawah di Terengganu telah bertahun menggunakan dron malah ‘pilot’ dron telah menjadi kerja anak muda kita.

“Kalau mari dengan tujuan nak jual dron maka kita boleh atur pertemuan dengan ‘target group’. Tapi bukan baru nak perkenalkan,” ujarnya.

Azman turut berkongsi pengalaman apabila seorang menteri pernah datang ke Terengganu dengan cadangan projek fertigasi menggunakan teknologi Internet of Things (IoT).

“Mungkin anggapannya petani di Terengganu masih lagi petani tradisi yang bergantung kepada cangkul dan kerbau untuk membajak.

“Terdiam Menteri bila saya jelaskan, petani di Terengganu sudah ramai yang mampu menyiram dan membaja tanaman dengan menekan skrin di telefon pintar.

“Maknanya, kita sudah biasa dengan IoT dalam pertanian malah Terengganu ialah negeri dengan bilangan petani fertigasi terbesar di Malaysia.

“Bukan berbangga tapi hanya sekadar membentangkan realiti yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/9/2025

- Advertisement -