
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa bersama umat Islam di Palestin agar terus mendoakan kesejahteraan pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini semakin menghampiri wilayah Gaza selepas lebih tiga minggu berada di perairan.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, berdasarkan maklumat terkini, kapal GSF telah menghadapi serangan dron rejim Zionis yang merupakan serangan keempat sejak pelayaran misi itu bermula.
“Ancaman udara sedemikian sememangnya dijangka dan pelbagai negara termasuk wakil negara yang terlibat dalam GSF telah mengeluarkan kenyataan amaran berhubung perkara berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan.
Pihaknya jelas beliau, turut menggesa umat Islam di seluruh negara agar terus mendoakan Qunut Nazilah ke atas kekejaman dan kezaliman tanpa henti rejim Zionis serta bersatu hati dengan para wira negara dan lain-lain yang menyertai GSF terbesar bagi menyelesaikan misi kemanusiaan di sana.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pelayaran GSF sedang melalui perairan Mediterranean dengan membawa pelbagai makanan dan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Gaza yang tertindas.
“Tujuan utama pelayaran ini adalah untuk memecahkan sekatan rejim Zionis bagi menyampaikan misi kemanusiaan kepada rakyat Gaza. Sesungguhnya ini merupakan misi besar kemanusiaan yang mendapat sokongan daripada seluruh pelosok dunia,” terangnya.
Dewan Ulamak PAS ujarnya, turut mendoakan agar semua para sukarelawan dikurniakan kecekalan jiwa dan hati untuk meneruskan misi mulia ini serta berjaya memasuki wilayah Gaza.
“Semoga Allah SWT melindungi kesemua kapal yang sedang berlayar memasuki wilayah Gaza insya-Allah,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez mengumumkan penghantaran kapal perang dari Cartagena bagi melindungi flotila bantuan ke Gaza susulan serangan terhadap GSF.
Kapal itu akan dilengkapi sumber bagi operasi menyelamat, selain Sepanyol menuntut undang-undang antarabangsa dihormati serta keselamatan rakyatnya terjamin.
Tindakan Sepanyol itu menyusuli langkah Itali yang lebih awal menghantar kapal perang dengan tujuan sama. – HARAKAHDAILY 26/9/2025











