
ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan lebih RM30 juta bagi tahun 2025 khusus untuk memperkasakan institusi Sekolah Agama Rakyat (SAR), satu peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, komitmen padu kerajaan negeri itu adalah sebahagian daripada pelan komprehensif di bawah gagasan The Greater Kedah untuk membangunkan Kedah sebagai pusat kecemerlangan ilmu.
Menurutnya, institusi pendidikan Islam yang bergerak atas landasan fisabilillah merupakan tunjang dalam melahirkan generasi pewaris yang bukan sahaja berilmu, tetapi berakhlak dan berdaya saing.
“Kita sedang membina generasi pewaris yang mampu memimpin masyarakat di peringkat negeri, negara, malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Agihan Wakalah Zakat dan Pemberian Bantuan Operasi kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah di Dewan Insaniah, di sini pada Rabu.
Agihan lebih RM30 juta itu merangkumi pelbagai skim bantuan, termasuk tajaan pendidikan bernilai RM16.15 juta kepada 2,993 pelajar fakir miskin, bantuan bulanan kepada 4,628 guru dan kakitangan (RM7.2 juta), agihan zakat mursyid kepada 45 tok guru pondok (RM810,000) dan dana pengurusan sekolah (RM5.4 juta).
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi turut menyanjung tinggi Pondok Lanai yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Omar Zuhdi sebagai contoh terbaik kejayaan sebuah institusi pondok.
Beliau berkata, ‘keberkatan’ ilmu yang diwarisi telah melahirkan ribuan alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti pegawai kewangan, usahawan dan hartawan serta kemudiannya kembali menyumbang sehingga merubah Pondok Lanai menjadi sebuah institusi moden hebat.
“Tuan-tuan yang terlibat dalam kluster pendidikan agama ini boleh kaji perjalanan pendidikan bagaimana Pondok Lanai, dengan berkat daripada guru-guru dan ilmu, telah melahirkan begitu ramai manusia yang baik-baik di negara kita ini,” katanya.
Beliau juga menyeru institusi-institusi yang belum berdaftar agar segera berbuat demikian bagi memudahkan penyaluran bantuan yang lebih menyeluruh, selain menasihati warga pendidik Islam agar bersatu dalam perkara-perkara dasar demi kepentingan ummah. – HARAKAHDAILY 5/9/2025





















