
KANGAR: Seminar Kesedaran Halal @ UiTM Perlis 2025 yang berlangsung kelmarin membuka ruang kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi agama ke arah memperkukuh industri halal negeri ini.
Program anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA) UiTM, Prof Madya Dr Wan Izhan Nawawi Wan Ismail dan Pengarah JAIPs, Maizura Shamsudin.
Juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pengurusan Halal JAIPs, Azizah Mat Isam serta Koordinator ACIS UiTM, Dr Afiffudin Mohammed Nor, selain pensyarah dan mahasiswa.
Ustaz Muhammad Azmir menjelaskan bahawa Perlis memiliki beberapa faktor kekuatan yang mampu menjadi pemangkin untuk muncul sebagai pusat rujukan halal, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.
Beliau menyenaraikan kelebihan Perlis, lokasi strategik bersempadan dengan Thailand, berpotensi menjadi pintu masuk produk halal ke pasaran ASEAN.
Ekosistem pendidikan dan penyelidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan institusi lain mampu menyediakan kepakaran dalam bidang halal, bioteknologi dan inovasi produk.
Sokongan agensi agama dan kerajaan iaitu JAIPs serta kerajaan negeri komited memastikan pensijilan dan penguatkuasaan halal dilaksanakan secara menyeluruh.
Juga, industri halal dalam sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan halal dan logistik halal kini semakin mendapat permintaan global.
“Dengan kelebihan ini, Perlis diyakini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan halal domestik, malah berupaya melangkah ke pasaran antarabangsa, khususnya Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah,” katanya di Facebook rasmi beliau.
Seminar ini menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hukum dan ilmu halal, di samping membuka peluang kepada para usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan dalam industri halal.
“Semoga Perlis menjadi hab halal terbaik dan rujukan utama di rantau ini,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/8/2025




















