
KULIM-BANDAR BAHARU: Kerajaan Negeri Kedah menerusi inisiatif The Pearl of Kedah melancarkan satu program intervensi menyeluruh yang menyasarkan remaja daripada keluarga B40 bagi memutuskan rantaian kemiskinan dalam kalangan belia negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Ashah Ghazali berkata, majlis perasmian rasmi program tersebut dijadualkan berlangsung pada bulan September nanti.
“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan. Kali ini, kita memberi fokus khusus kepada anak-anak daripada keluarga B40, terutamanya pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima,” katanya.
Beliau memaklumkan demikian ketika merasmikan Rumah Pengeringan berteknologi solar di Kampung Sungai Buluh, di sini semalam.
Menurut beliau, seramai 300 pelajar akan disenarai pendek dengan kerjasama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh Kedah sebagai peserta gelombang pertama.
“Kita akan mengenal pasti pelajar harian biasa, yang tinggal bersama keluarga. Keutamaan akan diberikan kepada anak sulung dalam keluarga yang berusia sekitar 13 hingga 17 tahun.
“Kerana kita percaya jika mereka dibimbing dan diberi perhatian awal, mereka mampu berjaya dan seterusnya mengubah nasib keluarga mereka,” katanya lagi.
Sebagai sebahagian daripada modul intervensi, para peserta akan dipantau secara berkala dan berjadual oleh pakar perunding, termasuk sesi peningkatan sahsiah dan prestasi akademik.
“Sebulan sekali atau dua bulan sekali kita akan bawa mereka bertemu dengan konsultan bagi memantapkan jati diri, disiplin serta pembelajaran.
“Sekolah-sekolah yang terlibat juga akan dimaklumkan untuk turut sama memantau perkembangan anak-anak ini,” tambah Ustazah Ashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas.
Antara keunikan program ini ialah penyediaan caruman bulanan sebanyak RM30 ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) setiap pelajar yang terlibat, bagi mempersiapkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat sekolah menengah.
“Caruman ini akan dimulakan sepanjang mereka berada dalam program ini, bila tamat sekolah nanti, mereka sudah ada simpanan untuk bantu mereka melangkah ke Institut Pengajian Tinggai (IPT),” katanya lagi.
Ujarnya lagi, borang penyertaan sudahpun diedarkan dan proses saringan sedang berjalan untuk mengenal pasti calon yang benar-benar layak.
Program ini merupakan antara projek tumpuan dalam pelaksanaan The Greater of Kedah, satu agenda transformasi pembangunan yang sedang digerakkan kerajaan negeri bagi melonjakkan taraf hidup rakyat Kedah secara menyeluruh, khususnya di luar bandar.
“Kemiskinan akan terus kita jadikan agenda utama kerajaan negeri. Program seperti ini bukan sahaja menyentuh aspek kebajikan, tetapi kita beri fokus kepada pembangunan insan dengan pendekatan jangka panjang yang realistik dan menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025




















