Pengeringan solar iSunDryer lonjak ekonomi desa

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Penduduk Kampung Sungai Buluh melakar satu pencapaian baharu apabila rumah pengeringan berteknologi solar mula beroperasi di kampung berkenaan, sekali gus membawa nafas baharu kepada pengusaha kecil dan petani setempat.

- Advertisement -

Rumah pengeringan berkenaan menggunakan sistem inovatif iSunDryer, hasil kerjasama erat antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah dan Pulau Pinang, sebagai satu transformasi teknologi dalam proses pengeringan makanan serta hasil pertanian.

Projek ini secara langsung menyokong inisiatif kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar dan menoktahkan kemiskinan menerusi pemerkasaan teknologi tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Dato’ Ustazah Ashah Ghazali berkata, pelaksanaan projek ini merupakan langkah strategik ke arah membangunkan ekonomi luar bandar secara lestari.

“Rumah pengeringan ini menggunakan teknologi pengeringan berasaskan tenaga solar yang direka khas untuk memelihara kualiti produk pertanian, makanan kering, hasil laut dan herba tempatan.

“Ia bukan sahaja mempercepat proses pengeringan, malah menjamin kebersihan dan menambah nilai pasaran kepada hasil keluaran kampung,” katanya dalam Majlis Perasmian Rumah Pengeringan Kampung Sungai Buluh, di sini semalam.

Teknologi iSunDryer diperkenalkan itu dilihat mampu mengatasi pelbagai cabaran proses pengeringan secara tradisional, antaranya waktu pengeringan yang lama, pencemaran habuk, serta penggunaan bahan api tinggi dan tidak mesra alam.

Dengan sistem pengeringan solar tertutup ini, hasil keluaran kampung dijamin bersih, selamat dan tahan lebih lama.

Tambahan pula, proses pengeringan kini hanya memakan masa antara dua hingga tiga jam sahaja, jauh lebih pantas berbanding kaedah konvensional yang boleh mencecah beberapa hari.

Ashah turut menjelaskan, kejayaan projek ini menjadi titik tolak kepada penghasilan produk berkualiti tinggi yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar menerusi platform digital dan koperasi setempat.

“Jadikan rumah pengeringan ini sebagai pusat aktiviti ekonomi mikro, latihan produk dan pemangkin kepada kejayaan kampung ini,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, pelaksanaan projek berteknologi hijau itu selari dengan dasar kerajaan negeri yang menumpukan kepada pembangunan mampan serta pemerkasaan ekonomi rakyat.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mencapai hasrat kerajaan dalam membasmi kemiskinan, memperkasa ekonomi komuniti dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya lagi.

iSunDryer turut diiktiraf sebagai salah satu penyelesaian teknologi mesra alam, apabila keseluruhan sistem pengeringan dijana menggunakan tenaga solar sepenuhnya tanpa bergantung kepada bahan api fosil, sekali gus mengurangkan kos operasi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Lebih menarik, kualiti ikan kering yang dihasilkan menggunakan iSunDryer bukan sahaja tahan lebih lama, bahkan mempunyai mutu lebih tinggi, sesuai untuk dipasarkan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Projek ini juga membuka peluang kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti luar bandar dalam usaha memindahkan teknologi secara praktikal dan terus memberi impak ekonomi setempat.

Sebagai makluman, rumah pengeringan ini merupakan salah satu daripada inisiatif rintis yang bakal diperluas ke kampung-kampung lain sekiranya menunjukkan hasil positif dalam tempoh pelaksanaan awal. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -