
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad menegaskan bahawa muslimat adalah duta PAS yang mempunyai peranan termasuk dari sudut tutur kata dan penyampaian.
“Kita adalah agen penyampai kefahaman Islam, agen penjernih fikiran masyarakat, dan pendamai kepada pemikiran rakyat yang hari ini diasak dengan pelbagai propaganda dalam media sosial.
“Muslimat bukan datang sebagai penyeri program atau penghidang untuk muslimin, tetapi sebagai petugas jemaah yang bergerak bersama dan senada dengan muslimin,” ujarnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Perak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel ‘Training of Trainer (ToT) Penceramah Berwibawa anjuran Lajnah Perhubungan Media Baharu (LPMB) Dewan Muslimat PAS Malaysia yang diadakan di sini kelmarin.
Najihatussalehah menekankan bahawa tanggungjawab menyampaikan dakwah bukan hanya terpikul di bahu para asatizah, bahkan menjadi tugas semua ahli PAS tanpa mengira latar belakang.
“Sampaikan dariku walaupun satu ayat, tidak kiralah kita seorang suri rumah, doktor mahupun jurutera, tanggungjawab menyampaikan mesej dakwah adalah amanah kita semua,” ujar beliau memetik hadis itu.
Namun jelas beliau, dakwah perlu disampaikan dengan pertimbangan dan hikmah, bukan secara terburu-buru atau tanpa persiapan.
Terdahulu, bengkel ini telah menampilkan beberapa slot pengisian seperti ‘teknik ceramah berpengaruh’, ‘teknik mengulas isu’, serta slot berkaitan ‘Do and Don’t dalam ceramah’ yang disampaikan penceramah berpengalaman.
Lebih 50 orang peserta dari seluruh negara hadir dalam usaha memperkasakan keupayaan komunikasi dan pengucapan awam dalam kalangan aktivis muslimat. – HARAKAHDAILY 4/8/2025












