Peranan ‘influencer’ wanita bentuk naratif masyarakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan penganjuran program Hi-Tea Influencer Wanita sebagai majlis yang santai, namun berstrategik serta diharap menjadi amal soleh membahagiakan kehidupan dunia dan akhirat.

Menurutnya, kejayaan penganjuran majlis berkenaan adalah dengan izin Allah SWT dan wajar disyukuri oleh semua pihak yang terbabit.

“Alhamdulillah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, majlis yang penuh bermakna ini, iaitu Hi-Tea Influencer Wanita dapat dilaksanakan,” ujarnya.

- Advertisement -

Katanya, dalam dunia digital hari ini, satu video atau satu kapsyen boleh membuka mata dan hati ribuan orang samada ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Oleh itu tegas beliau, pempengaruh bukan sekadar trend atau hobi, tetapi ia adalah suatu amanah dan menyeru para pendakwah digital  ituagar menyampaikan mesej atau konten dengan hikmah, benar, dan beradab.

“Dalam sejarah manusia, tokoh paling berpengaruh bukanlah raja, bukan juga hartawan, tetapi Baginda SAW yang diutus Allah untuk seluruh alam. Tokoh Barat juga mengiktiraf keagungan baginda SAW.

“Michael H. Hart, penulis buku The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama.

“Baginda SAW tidak membina pengaruh melalui kekerasan, tetapi dengan akhlak yang luhur, hikmah dalam bicara, dan kasih dalam dakwah.

“Di alam digital juga, kesatuan suara wanita amat penting dalam mempertahankan nilai agama, kemanusiaan dan perpaduan negara,” ujarnya.

Ustazah Nuridah turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Malaysia yang dipengerusikan oleh Dr Najihatussalehah Ahmad, bersama seluruh anak buahnya di semua peringkat.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Semoga majlis ini dikira sebagai amal soleh yang membahagiakan kehidupan kita, dunia dan akhirat,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad menegaskan bahawa tidak semua pimpinan mampu menjadi vokal atau berperanan sebagai pempengaruh.

Namun menurutnya, setiap individu tetap memainkan peranan penting dalam menyampaikan kebaikan dan membentuk naratif masyarakat.

“Yong sangat teruja dapat bersama-sama para ‘influencer’ wanita dalam program Hi-Tea Bersama Influencer Wanita yang berlangsung meriah di Bangi.

“Alhamdulillah, program anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) yang telah lama dirancang ini akhirnya berjaya direalisasikan.

“Syabas dan setinggi penghargaan buat jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakannya!” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Dr Najihatussalehah berkata di era digital hari ini, peranan ‘influencer’ begitu besar dan berpengaruh kerana maklumat kini berada di hujung jari melalui telefon pintar, berbanding dahulu yang bergantung pada televisyen dan radio.

“Semoga pertemuan ini menjadi jambatan ukhuwah dan medan kerjasama yang berterusan demi menyebarkan naratif Islam dan kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -