
KUALA LUMPUR: Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar, termasuk mereka yang mempunyai idea untuk membunuh diri.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan dari 2019 hingga 2023, berlaku peningkatan ketara dalam isu kesihatan mental yang melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Contohnya pada tahun 2019, peratus pelajar yang mengalami masalah kesihatan mental adalah 7.9 peratus atau 424,000 orang, namun angka itu meningkat kepada 922,319 orang atau 16.5 peratus.
“Daripada jumlah itu, satu perempat iaitu 25 peratus adalah pelajar IPT yang menghadapi masalah-masalah mental seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah pelajar IPT tersebut, sebanyak 13.1 peratus dilaporkan mempunyai idea untuk membunuh diri.
“Walaupun mereka tidak melakukannya, cubaan membunuh diri berlaku dan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun,” dedahnya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai golongan mana dalam kalangan pelajar IPT yang paling terkesan dengan masalah kesihatan mental.
“Adakah pihak kementerian melibatkan golongan agamawan, para ulama dan sebagainya? Tadi disebutkan ada pakar itu dan ini, jadi adakah golongan agamawan itu sendiri terlibat dalam usaha untuk membanteras atau memberi motivasi kepada para pelajar?” soalnya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dalam jawapannya memberitahu, seramai 0.067 peratus atau 402 pelajar IPTA dikenal pasti benar-benar terlibat dengan masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi universiti.
Golongan itu menurutnya merangkumi semua mahasiswa tanpa mengira tahun pengajian dan dianggap perlu menerima bantuan berkaitan tekanan mental.
Tambahnya, pendekatan intervensi agama seperti konsep tazkiyatun nafs melalui ‘modul psycho spiritual’ sedang dilaksanakan, termasuk oleh UiTM, dan bakal diperluas ke semua IPT.
Mohd Misbahul dalam soalan asalnya meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah strategi Kementerian untuk memperkukuh sokongan kesihatan mental dan kebajikan pelajar IPT sejajar dengan pendekatan menyeluruh yang diguna pakai di negara maju. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











