PETRA disaran perkukuh kerjasama dengan IAEA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) disaran memperkukuh kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta negara-negara yang telah berjaya menggunakan tenaga nuklear secara selamat dan berkesan.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) juga ingin mengetahui sejauh mana perbincangan dan kerjasama telah dilaksanakan setakat ini.

Beliau turut mencadangkan agar PETRA mempertimbangkan penglibatan universiti tempatan dan institusi pendidikan dalam penyediaan tenaga mahir serta pembangunan teknologi berkaitan tenaga nuklear.

“Saya ingin tahu sejauh mana kementerian telah bekerjasama dan mengadakan perbincangan dengan IAEA serta negara lain yang berjaya menggunakan tenaga nuklear ini dengan selamat dan berkesan.

“Selain itu, adakah kementerian bercadang untuk melibatkan universiti tempatan atau institusi pendidikan dalam membangunkan tenaga mahir dan teknologi berkaitan?” soalnya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kementerian kini berada pada fasa eksplorasi untuk meneliti secara mendalam aspek piawaian antarabangsa dan pilihan teknologi yang sesuai.

“Kita sedang melihat secara teliti soal pematuhan kepada piawaian antarabangsa dan dalam masa sama menjalinkan kerjasama dengan negara-negara yang sedang atau pernah menggunakan tenaga nuklear.

“Kita di peringkat yang dipanggil eksplorasi iaitu untuk memahami dari segi sudut selok-belok opsyen yang kita terima pakai,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa pembangunan kepakaran tempatan perlu bergerak seiring dengan perancangan tenaga nuklear negara.

“Pada pemahaman saya di peringkat universiti tempatan menawarkan kursus cuma bila komitmen itu semakin jelas dan sebagainya sudah pasti dari segi kelangsungan kepakaran itu perlu disusun dengan rapi.

“Kita perlu lahirkan pakar-pakar malah sebenarnya ada pakar-pakar
kita yang menjawat jawatan di peringkat antarabangsa yakni saya sudah pasti bila sampai waktunya mereka ini juga akan menjadi salah sebahagian daripada yang akan menyumbang kepakaran mereka untuk kita menjana tenaga nuklear,” katanya.

Dalam soalan asal, Ismi minta Menteri PETRA menyatakan sama ada kementerian sedang melakukan kajian komprehensif berkenaan
penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -