Cepat kuasai naratif akan menang di hati rakyat

- Advertisement -

TAWAU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata, antara ‘senjata’ paling penting dalam mana-mana Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan sekadar bendera atau poster, sebaliknya kekuatan penerangan dan penguasaan media.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam era digital hari ini, rakyat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mereka lihat dan baca menerusi telefon pintar masing-masing.

“Setiap hari beribu-ribu berita dan video bersilih ganti di skrin. Siapa yang cepat dan konsisten menguasai naratif, dialah yang akan menang di hati rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Bengkel Penerangan anjuran Jabatan Penerangan dan Media Baru negeri di sini, kelmarin. (Foto atas)

Tambahnya, pengalaman pilihan raya lalu membuktikan bahawa ramai calon yang berkualiti tewas kerana mesej mereka gagal sampai kepada pengundi.

“Dalam dunia sekarang, kebenaran yang lambat bergerak akan kalah dengan fitnah yang pantas tersebar. Sebab itu jentera penerangan bukan lagi kerja sampingan, ia perlu diurus seperti nadi kempen,” jelasnya.

Menurut beliau, setiap mesej perlu disampaikan secara jelas, mudah difahami dan berulang-ulang, manakala sebarang fitnah mesti dijawab dengan fakta, bukan emosi.

“Kalau kita abaikan medan media, kita akan rugi sendiri. Tetapi jika kita menguasai medan ini secara serius dan berstrategi, rakyat akan nampak siapa yang benar dan siapa yang hanya bermain persepsi,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -