
KUALA LUMPUR: Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam meningkatkan kehidupan golongan luar bandar, rakyat B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ustaz Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berkata, menerusi usaha itu individu dari kategori tersebut dapat memperkasakan taraf hidup dengan pekerjaan seterusnya menjana pendapatan yang lebih baik.
Malah menurutnya, inisiatif itu juga tidak terhenti dengan pengenalan Skim Pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini.
“Adakah kerajaan bersedia menubuhkan dana khas Mobilitik Sosial TVET dan IPT lebih menyeluruh bagi memberi biasiswa penuh serta insentif cukai industri ambil pelatih dalam kategori ini.
“Ia agar golongan ini tidak terus tercicirkan kerana mengikut laporan Kementerian Ekonomi, golongan ini banyak yang tercicir dan mengambil kursus TVET yang berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Zambry Abd Kadir dalam jawapannya berkata, kerajaan menyediakan ruang seluas-luas kepada golongan tersebut meneruskan pengajian TVET.
Bagaimanapun kata beliau, kerajaan berhadapan halangan menjejaskan hasrat itu termasuk menyediakan suasana bagi memupuk minat selain meneruskan pengajian dalam bidang teknologi tinggi.
“Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi, kita menyedari masalah ini, oleh itu kita telah mengemukakan cadangan di peringkat Politeknik sebagai contoh mereka tidak mendapat kelulusan sempurna.
“Kita benarkan mengikuti kursus teknikal ini maka kita wujudkan keadaan dimana kita berikan ruang kepada mereka sebagai peluang kedua, alhamdulillah kita berjaya lahirkan kumpulan ini,” katanya.
Terdahulu dalam sesi Jawaban Lisan, Kamal yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau itu turut membangkitkan mengenai nasib graduan bidang lain selepas kerajaan memperkenalkan TVET.
Beliau bertanya mengenai perancangan jangka masa Kementerian Pengajian Tinggi memastikan graduan IPTS/IPTS kekal relevan dalam pasaran kerja nasional menjelang era pendidikan TVET. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











