
PUTRAJAYA: Agamawan dan usahawan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menawarkan penjualan eksklusif dinar emas sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Kelab Usahawan Haraki (KU Haraki).
Menurutnya, dinar emas itu dijual pada harga RM1,000 sekeping dan hanya 20 keping sahaja ditawarkan kepada para usahawan serta penyumbang yang ingin turut serta menyokong kelangsungan KU Haraki.
“Duit ini kita nak jual dengan harga RM1,000 untuk satu keping. Cuma kita ada 20 keping sahaja. Kepada para usahawan yang sudi menghulurkan sumbangan sambil-sambil memiliki dinar ini, maka saya sangat-sangat berbesar hati,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Usahawan Seru 25 – Himpunan 1000 Usahawan Ku-Haraki Malaysia di Grand Hall Bizmilla di sini semalam.
Dinar emas itu dilambangkan dengan logo koperasi itu sebagai usaha membantu kewangan koperasi itu yang tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan atau mana-mana pihak, sebaliknya berdiri atas usaha sendiri.
“Oleh itu, kita pakat-pakatlah sama-sama membantu KU Haraki ini. Sama ada dengan membeli dinar emas ini atau menyumbang terus melalui imbasan kod QR yang disediakan,” serunya.
Nik Zawawi berkata, dinar emas yang dihasilkan itu boleh dijadikan kenangan sempena sedekad penubuhan KU Haraki, selain sebagai simbol sokongan terhadap perjuangan koperasi itu.
Katanya lagi, walaupun pembelian boleh dibuat secara terus, pembeli juga boleh membuat bayaran kemudian, namun beliau mengingatkan supaya tidak berhutang tanpa niat melunaskannya.
Nik Zawawi turut mengucapkan tahniah kepada KU Haraki kerana berjaya menganjurkan program berskala besar selama tiga hari, yang mencerminkan kekuatan dan kesatuan dalam kalangan ahli koperasi itu.
“Inilah tanda kasih dan sayang kita kepada KU Haraki. Sekarang nilah saya minta KU Haraki supaya dia bangkit. Alhamdulillah kita boleh anjurkan program besar selama tiga hari ni,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2025











