Tuntut penjelasan Parlimen, siapa pencetus plat VIPS?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan nombor pendaftaran khas VIPS sempena sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis dan Tahun Melawat Perlis 2024 mencetuskan persoalan di Parlimen.

- Advertisement -

Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menimbulkan isu siapakah pihak sebenar yang mencetuskan idea pengeluaran siri khas berkenaan, ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya nak bertanya pada kementerian, bagaimana, siapakah yang merupakan pencetus sebenar idea untuk nombor plat VIPS ini sempena Jubli Perak Tuanku dan mengapa cadangan rasmi yang dikeluarkan, titah perkenan Tuanku, diketepikan?

“Manakala versi yang baru pula dilancarkan tanpa makluman pada Tuanku Raja Perlis, dan apakah status isu ini sekarang?” soal beliau sebelum persoalan tersebut dijawab Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah bahawa ia dibincangkan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut Hasbi, pengenalan nombor pendaftaran istimewa ini dipertimbangkan dengan mengambil kira sempena peristiwa-peristiwa yang penting kepada negara.

“Penetapan tanda ‘prefix’ adalah menjelaskan peristiwa penting tersebut. Jadi, untuk makluman ahli Yang Berhormat, susulan daripada mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac tahun 2025, Jemaah Menteri telah bersetuju menerbitkan nombor pendaftaran kenderaan siri khas VIPS sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis.

“Itu yang sebenar. Kita ikut keputusan mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Pada soalan asal Rushdan, beliau meminta penjelasan pihak kementerian berkaitan garis panduan dan kriteria yang digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat nombor kenderaan khas.

Termasuk pintanya, yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau entiti swasta serta jumlah kutipan hasil daripada penjualan plat khas ini sejak lima tahun kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -