
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja (DPPKR) menyatakan sokongan penuh terhadap perbahasan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Wan Amirul Asyraf Wan Ahmad berkata, sokongan itu dizahirkan susulan tindakan Dr Radzi yang menyuarakan keperitan dan kekecewaan terhadap nasib yang menimpa keluarga arwah Zulfan Iqbal.
Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa setiap nyawa dan maruah rakyat wajib dipelihara serta diberikan pembelaan sewajarnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan unsur kecuaian, ketidakadilan atau kelalaian pihak tertentu.
“DPPKR menuntut agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan segera, telus dan berkesan, serta menjelaskan perkara sebenar demi menjernihkan keadaan dan memulihkan kepercayaan masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyeru agar semua pihak bersolidariti dengan keluarga arwah, dan menolak sebarang usaha menutup kebenaran.
Katanya, DPPKR akan terus mengikuti perkembangan isu ini dan bersedia untuk membantu keluarga arwah dalam menuntut keadilan.
Terdahulu Dr Radzi membangkitkan kematian pelajar Tingkatan 4, Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful, yang lemas ketika menjalani aktiviti pemulihan dalam kolam terjun di sebuah sekolah sukan pada 25 November 2024.
Beliau menyuarakan rasa simpati terhadap ibu bapa arwah yang masih belum mendapat sebarang perkembangan siasatan meskipun telah membuat laporan polis dan menzahirkan rasa kecewa terhadap ketiadaan kunjungan pihak kepimpinan Kementerian Pendidikan.
Dr Radzi menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memberi penjelasan dan pembelaan sewajarnya kepada keluarga arwah tanpa perlu menunggu isu itu tular. – *HARAKAHDAILY 4/8/2025*











