Fatwa jadi dasar Perlis larang vape, disokong Pemuda

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan larangan penjualan vape di seluruh negeri yang berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

- Advertisement -

Larangan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Perlis ini berlandaskan keputusan fatwa yang telah diwartakan pada tahun 2022, mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape kerana didapati membawa lebih banyak kemudaratan berbanding manfaat.

Fatwa tersebut berpaksikan prinsip maqasid syariah yang menitikberatkan aspek penjagaan nyawa, akal dan keturunan.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun menegaskan bahawa tindakan ini bukan semata-mata dasar pentadbiran, tetapi mencerminkan keberanian politik berteraskan Islam.

“Apabila dasar kerajaan hari ini menterjemahkan keputusan itu ke dalam bentuk penguatkuasaan, ia adalah langkah yang selari dengan tuntutan agama dan keperluan semasa.

“Pemuda PAS Perlis menyifatkan ini sebagai contoh terbaik hubungan harmoni antara hukum dan dasar.

“Ia juga petunjuk bahawa Islam boleh menjadi teras dalam penyelesaian isu semasa dan satu peluang bagi semua pihak untuk memainkan peranan membina masyarakat sihat dan bebas ketagihan,” ujar beliau.

Haziq menegaskan bahawa larangan ini tidak patut dilihat sebagai tekanan kepada peniaga kecil semata-mata, sebaliknya satu usaha menyekat pintu kemudaratan yang sedang meluas dalam bentuk baharu.

“Budaya vape yang semakin menular, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah, perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh, bukan hanya dengan penguatkuasaan, tetapi melalui pendidikan, kefahaman dan dakwah,” jelas beliau.

Haziq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri turut menyeru seluruh rakyat Perlis agar menjadikan penguatkuasaan ini sebagai permulaan kepada gaya hidup sihat dan bersih, seiring dengan tuntutan agama dan kesejahteraan masyarakat.

Langkah Perlis ini menjadikan negeri tersebut antara perintis di Malaysia dalam memperkasa dasar kesihatan awam berdasarkan prinsip Islam, sekali gus memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menolak normalisasi budaya ketagihan baharu.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik tindakan Kerajaan Negeri Perlis yang bertindak tegas mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape melalui penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melihat langkah ini adalah tindakan berani dan proaktif, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai model rujukan dalam usaha membanteras penjualan produk yang memberi risiko tinggi kepada kesihatan awam. – HARAKAHDAILY 4/8/2025

- Advertisement -