
KOTA KINABALU: Anak Kelantan di Negeri Bawah Bayu berpeluang bertemu Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud sempena Majlis Townhall “Penghayatan Membangun Bersama Islam” (PMBI).
Dianggarkan 500 pengunjung yang terdiri dari pelajar institusi pengajian tinggi dan individu bermastautin di ini menghadiri majlis yang diadakan di Hotel Raia, di sini malam tadi.
Menteri Besar dalam ucapan beliau telah menyatakan penghargaan terhadap cadangan, pandangan dan buah fikiran yang diutarakan oleh anak Kelantan pada majlis bersama di Perantauan Zon Sabah.
Beliau berkata, majlis itu menampilkan Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan Dato’ Kamarudin Mat Noor yang berkongsi sektor pertanian dan pelancongan yang semakin berkembang di Kelantan saban tahun.
“Ini membuka mata kira semua tentang potensi besar yang boleh diterokai bersama demi kemajuan negeri tercinta di samping perkongsian perkembangan semasa yang semakin rancak dilaksanakan di negeri.
“Saya juga bangga melihat kehadiran ramai anak Kelantan berkhidmat di sektor kerajaan, swasta dan perniagaan, majlis ini penting mengukuhkan silaturahim bagi membina Kelantan lebih maju,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Razuan Awang Hamad.
Sementara itu Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan al-It’am kepada 15 pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Kota Kinabalu bagi meringankan lagi beban perbelanjaan harian.
Majlis tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantau Malaysia (PERAKAN Malaysia) dan PERAKAN Negeri Sabah.
Ia menjadi wadah yang sangat penting bagi kerajaan negeri bukan sahaja merapatkan hubungan pimpinan negeri dan anak Kelantan serta menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kelantan di luar negeri. – HARAKAHDAILY 3/8/2025












