Exco Kelantan lawat industri tenusu di Kundasang

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail melakukan lawatan ke Ladang Ternakan Lembu Tenusu di Desa Dairy Farm Kundasang, di sini.

- Advertisement -

Dalam satu hantaran di _Facebook_ hari ini beliau berkata, ladang yang terletak di kaki Gunung Kinabalu itu merupakan salah satu model terbaik mengenai  pembangunan dan pengurusan industri tenusu negara.

Menurut beliau, lawatan tersebut memberi idea dan pendedahan terhadap hasratnya untuk mengembangkan lagi industri tenusu bersama Kelantan Biotech dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Lawatan ini memberi inspirasi besar dalam usaha kami mengembangkan usahawan ladang lembu tenusu yang ditempatkan di Jeram Mengaji Agro Resort, Pasir Puteh Kelantan melihat kejayaan ditempa di sini.

“Dalam masa yang sama, perancangan menubuhkan Goat Milk Collection Center giat dijalankan melalui kerjasama ECERDC dan Kelantan Biotech, sebagai langkah penting mengembangkan industri ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ECERDC memeterai perjanjian kerjasama dengan Kerajaan Kelantan untuk membangunkan industri kambing tenusu menerusi pembangunan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di negeri itu.

Menerusi perjanjian tersebut GMCC akan dibina di Ketereh dan Pasir Puteh yang dijangka membuka peluang ekonomi bagi penternak tempatan selain mengukuhkan kedudukan Kelantan dalam sektor halal dan tenusu.

Pembangunan kemudahan itu bakal memberi nafas baru kepada industri susu kambing, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan sekali gus menjadi Kelantan sebagai pemain utama dalam pasaran tenusu di negara ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2025

- Advertisement -