
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan, Dato’ Mejar (B) Md Anizam Md Rahman bertemu pelabur Jepun sempena Ekspo Antarabangsa 2025 Osaka.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Mohamad Nasriff Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Zamri Ismail.
Dalam pertemuan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang itu mengimbau kisah kejayaan dan pengalaman syarikat ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd yang sudah bertapak di negeri itu lebih 30 tahun.
Beliau berkata, pelaburan syarikat yang berpangkalan di Kasaoka Jepun dan beroperasi di Pengkalan Chepa itu, menjadikan Kelantan sebagai negeri yang mengeluarkan semikonduktor terbesar di Pantai Timur.
“Perbincangan, penerangan, perkongsian dan banyak lagi aktiviti sepanjang lima hari di Ekspo Antarabangsa 2025 Osaka Jepun bagi mempromosikan Kelantan kepada pelabur di Jepun untuk membawa pelabur ke Kelantan.
“Dengan pengalaman dan ‘success story’ oleh ROHM Wako yang telah 30 tahun di Kelantan menjadi penanda aras dan daya penarik kepada syarikat lain untuk ke sini, banyak potensi baru berjaya diterokai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri menerima pelaburan bernilai RM190 juta syarikat multinasional itu bagi projek pembesaran fasilitinya serta menjana lebih 340 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Langkah itu juga bakal meningkatkan kapasiti komponen transistor garis lebar dan pemacu litar bersepadu yang digunakan secara umumnya kenderaan elektrik dan kereta hibrid, selaras Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020. – HARAKAHDAILY 3/8/2025











