Hampir 1,000 anak muda sertai Night Run anjuran masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Night Run anjuran Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu mencatat sejarah apabila menghimpunkan hampir 1,000 penyertaan anak muda.

- Advertisement -

Sambutan luar biasa itu membuktikan sokongan kuat golongan belia terhadap aktiviti masjid yang bersifat santai dan mendidik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhammad berkata pendekatan kreatif pihak masjid berjaya menarik minat generasi muda menyantuni peranan institusi agama.

“Saya melihat program semalam sebagai satu bukti jelas bahawa anak muda memberi sokongan padu terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid.

“Walaupun tiada hadiah besar atau cabutan bertuah yang ‘grand’ program ini tetap mendapat sambutan yang sangat luar biasa” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau edisi sebelum ini hanya menerima sekitar 400 lebih penyertaan, namun kali ini mencatat peningkatan lebih sekali ganda.

Program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah bacaan surah Al-Mulk dan solat hajat sebelum peserta memulakan larian dari Masjid Jamek Muhammadi ke Masjid Mukim Banggol selaku rakan kerjasama penganjuran.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu atas usaha yang sangat kreatif dalam mendekatkan anak muda kepada institusi masjid.

“Inilah model masjid yang harus dicontohi bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga sebagai pusat pembangunan sahsiah dan perpaduan komuniti” ujarnya lagi.

Beliau turut mencadangkan supaya program seumpama ini diperluas ke seluruh jajahan di Kelantan sebagai usaha memperkukuh hubungan belia dengan masjid.

“Saya ucap tahniah kepada semua yang terlibat ‘sek kito jange ppecoh’. Teruskan menyemarakkan budaya sihat ukhuwah dan penghayatan Islam dalam kalangan anak muda” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025

- Advertisement -