
SATU hakikat yang tidak ramai menyedari ialah Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak memiliki lebuh raya seperti yang ada di negeri-negeri lain. Sejak sekian lama, bumi ini menyaksikan rakyatnya bergerak dari daerah ke daerah, dari utara ke selatan, dari timur ke barat hanya melalui jalan biasa. Jalan yang sempit, kadang berliku, kadang berbahaya, dan sering sesak ketika musim perayaan.
Kini barulah muncul dua projek yang diberi nama lebuh raya, namun tidak sepenuhnya menepati maksud lebuh raya sebenar. Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai ke Karak, dan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) kini dibina secara berperingkat. Kedua-duanya sebenarnya hanyalah naik taraf jalan Persekutuan, bukanlah lebuh raya bertol seperti yang kita kenali di negeri-negeri lain.
Pelabuhan juga tidak kita miliki, biarpun berada di pesisir Pantai Timur. Sedangkan dengan adanya pelabuhan, ekonomi negeri boleh melonjak, perdagangan dapat diperluas dan peluang pekerjaan boleh digandakan. Tetapi sampai hari ini, tiada pelabuhan.
Bukan kerana kita tidak pernah merancang. Bukan kerana kita tidak pernah mengemukakan cadangan. Setiap kali tiba Rancangan Malaysia, melalui Jabatan Kerja Raya negeri, kita kemukakan semuanya. Cadangan Lebuhraya Pesisir Pantai dari Pahang ke Tumpat, cadangan CSR dulu, cadangan pelabuhan. Kita kemukakan dalam bentuk rasmi, lengkap dengan pelan dan justifikasi. Tetapi jawapan daripada Kerajaan Persekutuan tetap sama. Tiada kelulusan, tiada peruntukan.
Apalah yang boleh dibuat oleh sebuah kerajaan negeri tanpa peruntukan pusat? Hasil royalti petroleum kita dinafikan. Kita hanya bergantung pada apa yang termampu dan diluluskan oleh pusat. Kuasa bukan di tangan kita.
Ramai dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam, khususnya yang berada di luar Kelantan, sering kali mempunyai satu tanggapan yang agak keras terhadap kepimpinan di negeri ini. Mereka melihat seolah-olah kerajaan yang dipimpin oleh PAS hanya menumpukan kepada agama, kepada akhirat, kepada syurga dan pahala semata-mata. Mereka merasakan bahawa aspek pembangunan, peluang pekerjaan, ekonomi dan hal-hal duniawi seakan-akan tidak diberi perhatian. Seolah-olah dunia ini diabaikan oleh kami.
Ia adalah satu persepsi yang lahir daripada gambaran yang tidak lengkap, dan kadangkala disumbangkan oleh pihak yang memang tidak senang melihat kekuatan Kelantan dalam mempertahankan prinsipnya. Islam itu sendiri adalah satu sistem yang sempurna, yang mengatur bukan sahaja hubungan antara manusia dengan Tuhan, tetapi juga membimbing bagaimana negeri ditadbir, ekonomi diurus, rakyat dibela dan peluang diperluaskan.
Semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1990, kami tidak pernah leka atau lalai daripada tanggungjawab membangunkan negeri. Rancangan demi rancangan telah disusun, dasar demi dasar telah digubal, langkah demi langkah telah diambil untuk mengangkat martabat negeri ini dari sudut ekonomi, pekerjaan, infrastruktur dan kemudahan rakyat.
Jalan yang kami lalui bukan mudah. Tekanan politik sentiasa datang silih berganti. Sebahagian besar projek-projek pembangunan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Kelantan, telah ditahan atau dilengahkan oleh kerajaan pusat atas sebab-sebab yang tidak pernah dijelaskan secara adil. Bahkan dalam banyak keadaan, permohonan kita yang sah dan munasabah langsung tidak diberi perhatian.
Kami berhadapan dengan kuasa yang mengawal peruntukan, kuasa yang boleh melulus atau menolak permohonan, kuasa yang menentukan siapa yang dapat dan siapa yang tidak. Kita berlawan dengan Barisan Nasional terlalu lama, banyak yang tidak sampai ke Kelantan.
Ramai yang tidak menyedari bahawa projek-projek berskala besar seperti lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang, dan jaringan rel bukanlah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Itu semua adalah urusan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Tiada satu pun negeri dalam Malaysia ini yang mampu membina projek-projek sebesar itu sendirian. Negeri hanya mampu merancang dan memohon. Rakyat mungkin tidak nampak proses ini.
Bila kita diberi peluang berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini, barulah ada perubahan dan harapan baru yang lebih terang. Tapi untuk menampung ketinggalan selama 30 tahun ini, ia bukan boleh diselesaikan dalam tempoh setahun dua. Bukan mudah untuk mengejar semula masa yang begitu lama. Sebab itu kita minta masa. Kita perlu kekal di Putrajaya lebih lama agar kesinambungan ini tidak terhenti. Supaya pembangunan di Kelantan tidak lagi bersandarkan belas ihsan, tetapi menjadi arus utama pembangunan negara. Hanya dengan cara itu barulah Kelantan dapat bangkit dan berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain.
Jika benar kami mengabaikan pembangunan, mengapa Gua Musang, sebuah daerah yang dahulu jauh ke belakang semasa pentadbiran Barisan Nasional, hari ini muncul sebagai antara bandar penting dan membangun di Kelantan? Bukankah ini hasil daripada dasar dan perancangan yang dilakukan oleh kerajaan yang dipimpin oleh ulama? Sebelum tahun 1990, ketika itu Umno memerintah selama 12 tahun sejak 1978. Gua Musang ketika itu hanyalah pekan kecil, sunyi dan agak terpinggir. Tiada banyak pembangunan, kemudahan asas pun masih terhad. Tetapi apabila kami mengambil alih pemerintahan negeri, perubahan mula berlaku secara berperingkat.
Dengan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk dari selatan ke Kelantan, kami mula menggerakkan pelbagai inisiatif untuk memajukan Gua Musang. Kawasan itu dibangunkan secara terancang, prasarana diperluas, jalan diperbaiki, peluang ekonomi dibuka. Hari ini, Gua Musang berdiri sebagai antara pusat ekonomi dan laluan penting bagi negeri Kelantan, termasuk menjadi sebahagian daripada jaringan projek besar seperti CSR dan ECRL.
Apa yang menyedihkan, segala usaha dan perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini tidak banyak diketahui oleh masyarakat luar. Maklumat-maklumat penting sering tersekat di tengah jalan di zaman akhbar dan televisyen. Zaman tanpa internet. Ada yang ditapis, ada yang ditahan daripada disebarkan. Saluran media arus perdana pula lebih selesa menonjolkan sisi yang negatif, seolah-olah mahu menggambarkan Kelantan ini statik, tidak bergerak, dan ketinggalan zaman.
Dalam keadaan itu, pelabur pun terkesan. Ramai pelabur luar negara yang pada awalnya berminat untuk melabur di Kelantan, terpaksa berundur selepas berdepan halangan-halangan. Ada yang datang menemui kami sendiri, menyatakan hasrat mereka untuk melabur di bumi Serambi Makkah ini. Tetapi sistem perbankan negara perlu melalui kelulusan tertentu, perlu melapor kepada Bank Negara. Dan apabila diberitahu lokasi pelaburan itu adalah Kelantan, urusan itu mula jadi sukar. Ditangguh, dilambatkan, malah ada yang terus disekat.
Bukan itu sahaja. Pelabur dari dalam negara, yang beroperasi di Kuala Lumpur dan mahu memperluas pelaburan ke Kelantan, turut berdepan masalah yang sama. Pinjaman yang sepatutnya diluluskan untuk tujuan pembangunan, tiba-tiba ditahan tanpa alasan jelas. Prosedur menjadi rumit apabila lokasi pelaburan disebut Kelantan. Ini sesuatu yang masyarakat umum tidak tahu, bahkan sebahagian besar tidak pernah diberitahu.
Akhirnya, pada satu ketika, Tok Guru Nik Aziz membuat keputusan yang luar biasa. Beliau umumkan pembinaan Lebuhraya Rakyat, dibina sendiri tanpa bergantung kepada Kerajaan Pusat. Ketika itulah baru kerajaan pusat tersentak. Barulah mereka meluluskan projek Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai, yang kita minta sejak sekian lama tapi tidak pernah dipedulikan. Hanya apabila kita mula berdikari, barulah mereka datang dengan janji dan peruntukan.
Memang tidak dinafikan, setelah lebih tiga dekad mentadbir Kelantan, masih ada pihak yang mempersoalkan tentang tahap pembangunan ekonomi negeri ini. Ada yang melihat kadar pengangguran sebagai bukti kelemahan pentadbiran. Ada pula yang menyifatkan Kelantan masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Persepsi ini hidup kerana mereka hanya menilai daripada apa yang nampak, tanpa menyelami punca sebenar yang menghalang pembangunan berlaku secara menyeluruh. Saya akan beri pencerahan khas berkaitan isu pengangguran ini dalam siri lain.
Kekangan yang kita hadapi bukan kerana kegagalan merancang atau kelemahan dasar. Tetapi kerana tekanan politik dan halangan-halangan yang mengikat tangan kita sejak sekian lama. Saya sendiri pernah didatangi pelabur luar negara, yang menyatakan minat untuk datang ke Kelantan. Tapi apabila permohonan mereka sampai ke peringkat pusat, projek itu disekat. Ada juga pelabur dari Kuala Lumpur yang menghadapi situasi yang sama, pinjaman bank untuk pelaburan di Kelantan tiba-tiba ditangguhkan atau tidak diluluskan tanpa alasan yang munasabah. Ini kisah benar, yang ramai tidak tahu.
Alhamdulillah, keadaan mula berubah apabila kita bersama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. Buat pertama kalinya, banyak projek besar yang sebelum ini tertangguh kini diberi perhatian. Lapangan terbang kita sudah diluluskan pembesarannya. Fasa kedua pembinaan sedang berjalan, dan kelak apabila siap, ia akan menjadi pemangkin besar kepada kemasukan pelabur dan pelancong.
Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) pula telah mula dibuka secara berperingkat. Ini membuka laluan darat yang lebih lancar dan pantas dari barat ke timur, dari Lembah Klang terus ke jantung Kelantan. Seterusnya, pembangunan pelabuhan pula sedang dalam proses. Jika ini menjadi kenyataan, maka lengkaplah prasarana utama yang menjadi asas pertimbangan pelabur.
Pelabur tidak datang jika infrastruktur tidak tersedia. Itu kenyataannya. Dan sebab itu kita tumpukan kepada perkara ini dahulu. Bila jalan sudah terbuka, bila udara dan laut sudah boleh dilalui, barulah mereka datang dengan keyakinan.
Dan di hadapan kita sedang terbentang satu lagi projek berskala nasional Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL. Ia akan menghubungkan Kelantan terus ke Pelabuhan Klang, menghubungkan darat dan laut, dan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, logistik, dan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada rakyat Kelantan.
Dengan semua ini sedang berlaku, Insya-Allah masa depan Kelantan akan lebih cerah. Apa yang kita perlukan sekarang ialah masa dan kesabaran untuk memastikan segala yang dirancang ini menjadi kenyataan. Jika semangat federalism ini terus dipelihara, Kelantan bakal melakar kebangkitan yang luar biasa dengan acuannya yang tersendiri.
Jadi kepada mereka yang masih menuduh bahawa kerajaan ini tidak tahu membangun, datanglah ke Kelantan hari ini dan lihat sendiri bagaimana tanah yang dulu dianggap terpinggir kini sedang bergerak. Mungkin tidak secepat orang lain, tapi langkah kita tetap tersusun. Dan InsyaAllah, jika diberi masa, Kelantan akan muncul sebagai negeri yang bukan sahaja kaya dengan nilai, tapi juga makmur dari segi ekonomi.
MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 10/7/2025




















