RMM untuk rakyat, bukan untuk untungkan pemaju

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh iltizam menjadikan perumahan mampu milik (RMM) sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat, tanpa terperangkap dalam kerakusan keuntungan pemaju yang tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Menteri Besar berkata, projek-projek perumahan di negeri ini mesti memberi ruang kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri, bukannya dibangunkan bagi kepentingan pemaju kapitalis yang hanya mementingkan pulangan maksimum.

“Kita fokus pada rumah mampu dimiliki, yang munasabah untuk dibina. Dijual tak untung sangat, tak melampaui. Bukan kapitalis pemaju yang tak memikirkan orang lain, dia pun macam kita juga,” ujarnya.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Fasa 7, Projek Pembangunan Rumah Teres Satu Setengah Tingkat Mutiara di Bandar Puteri Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar pemilikan oleh rakyat tempatan itu merupakan bukti kejayaan pendekatan kerajaan negeri dalam memastikan projek hartanah tidak dikuasai oleh spekulator atau pembeli luar.

Sanusi turut menyatakan hasratnya untuk menjadikan Kedah sebagai negeri orang miskin berteduh dan orang kaya berbakti.

“Saya selalu sebut, Kedah akan jadi tempat orang miskin boleh berteduh, orang kaya boleh berbakti, saya harap syarikat ini akan jadi orang kaya yang berbakti.

“Saya juga harap semua orang di Kedah ini orang yang peduli kepada orang lain. Ada orang yang buat projek besar, tapi tak peduli orang,” tambahnya lagi.

Dalam nada bersahaja tetapi penuh makna, Sanusi menyentuh budaya orang Kedah yang disifatkannya sebagai kasar tetapi berhati baik.

Mengulas situasi di bandar-bandar besar yang menyaksikan kewujudan jurang sosial besar, Sanusi berkata Kedah akan berusaha sebaik mungkin mengelakkan senario serupa.

“Di banyak bandar besar berlaku ketidakseimbangan ada orang ada rumah, ada orang yang tak dak rumah langsung, gelandangan. Kita ni tak sampai peringkat tu lagi.

“Insya-Allah kalau disusun dengan baik perkembangan pembangunan projek negeri kita ini, kita takkan menghadapi situasi seperti itu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneral.

Beliau menyifatkan rumah bukan sekadar aset fizikal, tetapi ruang penting untuk kehidupan bermakna.

“Rumah ni tempat balik selepas penat bekerja, tempat bersama keluarga, suka duka merancang masa depan,” katanya.

Projek perumahan Mutiara ini dibangunkan hasil kerjasama antara Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) selaku pemilik tanah, bersama pemaju Pearl House Design Sdn Bhd (PHDSB).

Sebanyak 585 unit rumah teres satu setengah tingkat telah dan sedang dibangunkan dalam 10 fasa di tapak tersebut. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -