Kanak-kanak, remaja Malaysia lebih gemar berbahasa Indonesia?

- Advertisement -

ISU kanak-kanak di Malaysia yang didakwa lebih gemar bertutur dalam bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu menjadi perhatian di mana perkara ini dapat dilihat melalui ciapan di media sosial.

- Advertisement -

Ia menjadi tular selain berkait rapat dengan pengaruh media dan hiburan dari Indonesia, yang sering menjadi pilihan tontonan kanak-kanak dan remaja.

Mengapa perkara itu boleh terjadi, sedangkan bahasa pertuturan majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu adalah bahasa Melayu yang antaranya mengikut dialek daerah serta negeri masing-masing?

Isu ini turut diakui oleh rakyat Indonesia sendiri, di mana melalui ciapan X yang tular di media sosial negara itu, mendakwa kanak-kanak dan remaja Malaysia lebih gemar bercakap menggunakan bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu.

Malah berdasarkan pemerhatian pada status Facebook rakyat Malaysia, ada yang mengatakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dua golongan berkenaan akan menggunakan bahasa negara jiran itu sebagai bahasa utama.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dipertimbang sebagai sebab fenomena itu berlaku.

Pengaruh media

Filem, muzik, dan program televisyen dari Indonesia sering menjadi pilihan kanak-kanak, yang secara tidak langsung mempengaruhi penggunaan bahasa mereka.

Apatah lagi, dengan minat ibu bapa sendiri kepada drama mahupun filem-filem dari negara tersebut, secara tidak langsung tiada kekangan kepada golongan berkenaan.

Interaksi sosial

Kanak-kanak mungkin terpengaruh dengan rakan sebaya atau dalam persekitaran tertentu yang lebih banyak menggunakan bahasa Indonesia.

Kurangnya pendedahan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kanak-kanak, boleh menyumbang kepada kecenderungan mereka untuk menggunakan bahasa lain.

Contohnya di bandar besar atau kota raya, kebanyakan ibu bapa yang berjawatan tinggi, lebih memilih menggunakan bahasa Inggeris sebagai pertuturan seharian.

Anak-anak tidak terdedah kepada penggunaan bahasa Melayu, apatah lagi sekiranya dihantar ke sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

Situasi itu menyebabkan mereka lebih terdedah kepada bahasa Indonesia melalui filem, drama mahupun apa jua siaran yang sering menjadi pilihan kanak-kanak.

Faktor pembantu rumah dari kalangan warga Indonesia juga menyumbang kepada permasalahan ini.

Kanak-kanak selalu akan berada bersama dengan pembantu rumah lebih lama berbanding ibu bapanya sendirinya dan pastinya interaksi antara mereka menggunakan bahasa Indonesia.

Peranan ibu bapa dan pendidikan

Peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan bahasa ibunda sangat penting, begitu juga dengan peranan sistem pendidikan dalam mempromosikan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah di Petaling Jaya, menyuarakan hal tersebut yang baginya amat mengecewakan.

Penulisan karangan anak-anak didiknya, dilihat lebih menggunakan perkataan dari bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu.

“Meskipun sesetengah perkataan yang digunakan terdapat dalam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun penggunaannya perlu tepat dan sesuai dengan konteks,” kata beliau.

Guru tersebut juga menasihatkan ibu bapa dan pelajar agar lebih peka terhadap kandungan yang ditonton di media sosial kerana ia boleh mempengaruhi penulisan serta pemahaman bahasa.

“Kurangkan tonton ‘content’ bahasa Indonesia, jangan terbawa-bawa dalam karangan awak kerana ia salah. Kepada ibu bapa pula, tolonglah pantau apa yang anak anda tengok, apa yang mereka tengok, itulah yang mereka tulis,” katanya lagi.

Antara perkataan yang sering ditulis oleh para pelajar iaitu menukar panggilan yang sepatutnya dalam bahasa Melayu ke bahasa Indonesia, seperti nenek ke ‘kakek’, polis menjadi ‘pak polisi’, makcik bertukar ‘tante’, lari menjadi ‘kabur’ dan lain-lain.

Isu ini juga sebenarnya turut menjadi kerisauan sebahagian ibu bapa, rata-rata mereka meluahkan kebimbangan terhadap lambakan kandungan berbahasa asing di platform digital, yang menyukarkan pemantauan mereka.

Apakah penyelesaiannya?

Mungkin perkara ini masih di awangan kerana tanpa penyelesaian tuntas, dibimbangi generasi akan datang lebih mahir berbahasa Indonesia berbanding bahasa ibunda sendiri.

Sedangkan mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus di dalam peperiksaan utama di negara kita.

Isu ini memerlukan perhatian dan tindakan yang menyeluruh, termasuk usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda dan menggalakkan mereka untuk lebih menghargai dan menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kementerian terbabit sewajarnya mengambil jalan tuntas agar ia tidak terus merebak, sedangkan semua di antara kita tahu bahawa bahasa itu menunjukkan bangsa.

Ia juga penting untuk memelihara indentiti, bangsa dan warisan budaya.

Oleh itu, jangan sekadar mengeluh, perlu lakukan sesuatu agar identiti banga Melayu tidak lenyap hanya dek kerana perkara yang dianggap remeh dan terpencil. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -