
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menolak dakwaan bahawa sokongan yang diberikan PAS terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kehakiman adalah bersyarat seperti dilaporkan segelintir media.
Menurut beliau, kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini hanyalah satu seruan kepada Dato’ Seri Rafizi Ramli dan rakan-rakan agar turut serta dalam ‘Himpunan Turun Anwar’ pada 26 Julai ini.
“Tidak timbul isu bersyarat atau tidak dalam menyokong RCI yang dicadangkan bekas Menteri Ekonomi ini. PAS menyokong RCI atau apa jua usaha untuk menyelesaikan kemelut soal pelantikan hakim hari ini. Nak datang (himpunan) atau tidak, terpulanglah, tidak ada masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, laporan media dengan menggambarkan seolah-olah PAS menyokong RCI secara bersyarat merupakan satu bentuk salah faham yang sepatutnya dirujuk kepada kenyataan sebenar pemimpin dimaksudkan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyindir bahawa cadangan penubuhan RCI tersebut tidak akan ke mana-mana selagi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih memegang jawatan.
“Ini kerana cadangan penubuhan RCI ini pun tidak akan terlaksana dan tidak akan ke mana-mana selagi PMX tidak menjadi XPM. Itu sahaja,” katanya.
Media tempatan sebelum ini mendakwa PAS bersedia menyokong cadangan penubuhan RCI sekiranya Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut serta dalam himpunan berkenaan dijadualkan berlangsung di ibu negara.
Cadangan penubuhan RCI terhadap badan kehakiman itu dikemukakan selepas sembilan Ahli Parlimen PKR membangkitkan kebimbangan terhadap campur tangan dalam proses pelantikan hakim-hakim kanan, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











