PAS dijangka tambah kerusi dan kuasai negeri Selatan?

PAS sangat berkuasa secara politik – Murray Hunter

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) kini menjadi antara parti politik paling berkuasa di Malaysia, hasil kekuatan akar umbi yang dibina sejak puluhan tahun lalu, menurut penganalisis politik, Murray Hunter.

- Advertisement -

Hunter berkata, PAS dijangka akan menambah beberapa kerusi dalam pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan pada akhir 2027, terutamanya hasil kerugian Umno.

“Menarik untuk diperhatikan jika PAS dapat menambah kehadirannya di Selatan Semenanjung dalam tempoh beberapa tahun akan datang melalui pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.

“Prestasi lemah kerajaan ‘perpaduan’ dalam isu rasuah dan moral yang berkait dengan Perdana Menteri semasa akan menjadi faktor penting dalam meningkatkan sokongan terhadap PAS di Selatan,” ujar beliau dalam satu tulisan di media sosialnya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua dekad yang lalu, PAS telah berkembang daripada sebuah parti berasaskan luar bandar di sepanjang pantai timur Semenanjung kepada sebuah parti politik yang mempunyai kepentingan nasional.

Katanya, PAS mendapat banyak manfaat daripada kerjasamanya dengan PKR dan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) dan kini dengan BERSATU dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“PAS merupakan parti politik terbesar di Malaysia, dengan menguasai 43 kerusi di Dewan Rakyat. PAS memegang 37 daripada 45 kerusi di negeri Kelantan, 27 daripada 32 kerusi di Terengganu, 21 daripada 36 kerusi di Kedah, dan sembilan daripada 15 kerusi di Perlis, yang merupakan kubu kuat parti ini.

“PAS juga telah memenangi kerusi di negeri-negeri lain, termasuk 17 daripada 59 kerusi di Perak, hampir membentuk kerajaan negeri bersama BERSATU. Di Pulau Pinang, PAS memenangi enam kerusi baharu menjadikan jumlah kepada tujuh.

“Di Selangor, PAS memenangi sembilan kerusi baharu menjadikan jumlah kepada 10 pada tahun 2023, dan memenangi tiga kerusi baharu di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri tahun yang sama.

“Di Pahang, PAS memegang 15 daripada 42 kerusi. PAS juga menyasarkan untuk membuat kemaraan di pilihan raya negeri Melaka pada 2026 dan Johor pada 2027,” hurainya.

PAS bukan parti politik konvensional

Hunter menjelaskan bahawa PAS bukan parti politik konvensional, sebaliknya lebih tepat digambarkan sebagai sebuah pertubuhan kemasyarakatan.

Ulasnya, PAS berkembang dari akar umbi, asalnya dari madrasah luar bandar, di mana para ustaz menganjurkan aktiviti masyarakat berasaskan tradisi Melayu seperti gotong-royong, bacaan al-Quran, dan kelas tuisyen untuk anak-anak kampung.

“Para ustaz sangat dipercayai di kampung-kampung, yang kebanyakannya membentuk komuniti sara diri dan kemudiannya bergabung dengan yang lain yang mempunyai pandangan hidup Islam yang serupa.

“Komuniti PAS akhirnya muncul di seluruh Utara dan Timur Malaysia yang terdiri daripada masjid atau surau, madrasah, tadika, sekolah, dan juga kedai komuniti. Dari masa ke masa, sesetengah usahawan berjaya membina perniagaan yang menjana pekerjaan dan menyumbangkan kembali kepada komuniti mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, komuniti-komuniti itu berkembang selepas Perang Dunia Kedua dan membentuk Persatuan Islam Se-Malaysia pada tahun 1951, dan ketika itu lebih melihat diri mereka sebagai sebuah pertubuhan berbanding parti politik.

Namun katanya, PAS menyertai pilihan raya kebangsaan pramerdeka pertama pada tahun 1955 dengan meletakkan 11 calon, dan Ahmad Tuan Hussein menjadi satu-satunya ahli PAS yang terpilih ke Parlimen.

Hunter berkata, dengan asas kampung, PAS membangunkan bentuk nasionalisme berhaluan kiri dan membentuk struktur parti untuk pilihan raya 1959.

“PAS memenangi 12 daripada 104 kerusi Parlimen ketika itu. PAS turut mengembangkan idea Islam pan-Asia yang terlibat dalam kekacauan antikomunis pada tahun 1950-an,” dedahnya.

Perkembangan ideologi dan politik

Katanya lagi, pada tahun 1970-an, PAS lebih menumpukan perhatian kepada hak orang Melayu dan menyertai Perikatan untuk tempoh yang singkat, namun menarik diri pada tahun 1977 selepas konflik dengan Umno di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Kepimpinan PAS terinspirasi oleh Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 dan menjadikan pembentukan negara Islam sebagai matlamat. PAS kemudian beralih daripada pendekatan nasionalisme Melayu kepada konsep ummah Islam.

“Golongan ulama semakin berpengaruh dan menguasai parti. Ini memaksa Umno untuk mengikut jejak tersebut, dan sejak tahun 1980-an, Malaysia mula melalui proses Islamisasi. Tidak seperti Umno, PAS bukan parti pro-monarki, tetapi menerima institusi monarki sebagai sebahagian daripada tradisi Melayu,” kupasnya.

Beliau berkata, di bawah bekas Presiden PAS almarhum Ustaz Fadzil Muhammad Noor dan kemudian bekas Mursyidul Am PAS, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS menjadi organisasi yang lebih sederhana berasaskan tema Islam ‘Nusantara’ dalam usaha menarik profesional muda bandar dan juga bukan Muslim.

Hunter berkata, pada tahun 1990, PAS memenangi semula Kelantan, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar.

“Pada tahun 1999, PAS menyertai Barisan Alternatif, gabungan anti-kerajaan selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir Mohamad, yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat, sebelum PAS menarik diri pada tahun 2015. Dalam pilihan raya umum 1999, PAS memenangi 27 daripada 192 kerusi Parlimen,” ujarnya.

Katanya, PAS telah lama dipengaruhi oleh Ikhwanul Muslimin, kerana ramai pengasas PAS terpengaruh dengan ideologi dan pengajaran dari Kaherah.

“Ramai anggota dalam Majlis Syura Ulama, badan pembuat keputusan tertinggi PAS, berpandangan bahawa sesebuah kerajaan perlu dipandu oleh golongan Muslim yang bijaksana agar tidak menyimpang daripada prinsip Islam,” ulasnya.

Pendidikan

Mengenai pendidikan, Hunter berkata, sistem sekolah dan madrasah PAS berfokus kepada Fardu Ain – kewajipan dan tanggungjawab Islam – sehingga ke usia dewasa.

“Golongan muda dalam PAS melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang seharusnya ditadbir oleh Muslim yang bijaksana.

“Mereka menganggap politik dan ahli politik semasa sebagai korup dan menyeleweng. Segala keputusan dan dasar kerajaan perlu dipandu oleh Islam,” ulasnya.

Beliau berkata, ramai dalam PAS percaya bahawa pelajar perlu mendapat asas agama Islam yang kukuh sebelum melanjutkan kepada pendidikan teknikal dan latihan kemahiran.

“Dengan cara ini, konsep ibadah (bekerja demi masyarakat atas nama Allah) akan meresap dalam jiwa mereka, membolehkan mereka bekerja dan memimpin dengan empati, hikmah dan kasih sayang,” dedahnya.

Menurut Hunter, pelajar dalam sistem PAS melihat Islam liberal sebagai pengkhianatan kepada prinsip Islam sebenar.

“Dalam Islam liberal, jiwa mudah rosak dan membawa kepada gaya hidup tidak bermoral. Oleh itu, DAP, PKR, dan Umno dianggap tidak layak mentadbir,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, ada orang yang telah hidup selama 60 tahun dalam persekitaran sedemikian, dan itulah kehidupan yang membentuk pandangan mereka terhadap dunia.

Hunter berkata, sejak 1980-an, kerajaan Barisan Nasional turut mengislamisasikan Malaysia seiring dengan pandangan dunia ini, menyebabkan penyokong PAS tidak mungkin melihat sekularisme sebagai penyelesaian kepada masalah sosial.

“Mereka melihat sekularisme sebagai punca masalah,” jelasnya.

PRU16

Mengenai pilihan raya umum akan datang, Hunter berkata, sangat sukar untuk membayangkan penyokong PAS akan mengubah undi mereka kepada mana-mana gabungan politik lain, melainkan pimpinan PAS mengarahkan sebaliknya.

“Bila penyokong PAS berbicara dengan bukan penyokong, mereka berbicara dari sudut pandangan Islam, bukan politik semasa. Sokongan ‘hardcore’ terhadap PAS ini tidak mungkin dapat dihapuskan,” terangnya.

Katanya lagi, bekas Perdana Menteri, Almarhum Abdullah Ahmad Badawi pernah cuba memperkenalkan Islam Hadhari pada tahun 2003, tetapi hanya berjaya secara terhad.

“Ahli politik PAS kebanyakannya berasal dari komuniti PAS dan tahu cara menyampaikan mesej dengan betul. Kadar rasuah dalam PAS jauh lebih rendah dan hanya terdapat kes-kes terpencil (seperti di Perlis),” dedahnya.

Menurut Hunter, intinya ialah ‘Ketuanan Melayu’ tidak sepenting ‘Ketuanan Islam’, dan sebab itu seruan untuk ‘perpaduan Melayu’ jarang berkesan terhadap pengundi PAS.

Namun begitu, katanya, PAS melihat kerajaan perlu beberapa pembaharuan, dan golongan profesional muda dalam PAS (yang sering dilabel sebagai ekstrem) sebenarnya sangat celik teknologi dan idea-idea kecekapan moden.

Menurut beliau, masih belum diketahui sama ada PAS akan menuntut jawatan Perdana Menteri dalam mana-mana kerajaan akan datang.

“Kemungkinan besar jawatan itu akan diberikan kepada BERSATU, walaupun mereka mungkin mempunyai kerusi lebih sedikit berbanding PAS dalam Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -