
KUALA LUMPUR: Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengaitkan malaikat dalam konteks tekanan dihadapi beliau sebagai pemimpin, baru-baru ini.
SMB berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam, malah mencalar maruah institusi kepimpinan Melayu yang seharusnya lebih cermat dalam menyentuh isu akidah, hukum dan syariat Islam.
“Jelas memperlihatkan suatu kejahilan yang sangat fatal dan tidak wajar keluar dari mulut seorang pemimpin Melayu Islam, apatah lagi beliau adalah Presiden Umno, sebuah parti yang selama ini mendabik dada.
“Sebagai pejuang agama dan bangsa. SMB menegaskan bahawa kejahilan seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang tanpa sebarang bentuk tindakan yang tegas dan berprinsip,” kata SMB menerusi kenyataan itu.
Tegas SMB, budaya memohon maaf setiap kali tersalah bicara kini menjadi terlalu ‘murah’ dan hilang makna apabila ia tidak disertai dengan taubat nasuha serta usaha mendalam untuk memahami Islam secara sahih.
“Kesalahan demi kesalahan yang dilakukan oleh tokoh-tokoh berpengaruh seperti Zahid Hamidi, jika tidak ditegur dengan tegas, ia hanya akan membuka ruang lebih luas kepada pihak lain untuk terus memperlekeh dan menghina agama suci ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, SMB menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau berdasarkan peruntukan sedia ada agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak yang berani mengguris sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Islam bukan alat politik. Umat Islam bukan boneka yang boleh dimomokkan dengan retorik kosong. SMB akan terus memantau dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mempermainkan isu-isu agama demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial ucapan Ahmad Zahid yang antara lain berkata “Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden, malaikat pun lari malam…’ yang seolah-olah membandingkan cabaran yang terpaksa dihadapinya.
Ucapan itu mencetuskan kemarahan umat Islam yang disifatkan keterlaluan termasuk mendapat teguran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berharap kesalahan itu diperbetulkan memandangkan ia kini menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











