Isu nelayan asing ceroboh perairan ditangani

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 56 bot nelayan asing dan dari negeri jiran ditahan oleh pihak berkuasa sepanjang tahun ini selepas didapati menceroboh perairan Terengganu dan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

- Advertisement -

Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, penahanan itu termasuk kes terbaharu membabitkan sebuah bot dari negeri jiran yang dikesan menceroboh kawasan perairan Terengganu pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari pantai Gong Balai Merchang.

Menurut beliau, bot berkenaan melakukan dua kesalahan jelas iaitu menceroboh zon tangkapan nelayan negeri Terengganu serta mengoperasikan pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Di bawah Akta Perikanan 1985, setiap negeri mempunyai zon tangkapan nelayan masing-masing sejauh 12 batu nautika dari pantai. Sekiranya nelayan dari negeri jiran atau asing berada dalam kawasan itu, ia dikategorikan sebagai pencerobohan.

“Bot yang ditahan ini juga melakukan kesalahan dengan membawa pukat tunda di zon yang tidak dibenarkan dan terdapat kemungkinan kesalahan lain termasuk penggunaan kru asing tanpa permit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu berkata demikian ketika ditemui selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (konservasi) di perairan taman laut Pulau Redang, di sini semalam.

Beliau berkata, daripada 56 bot yang ditahan tahun ini, kesemuanya telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk tindakan selanjutnya selaras dengan peruntukan akta berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) terus mempergiat operasi bagi memastikan perairan Terengganu tidak diceroboh.

“Setiap aduan atau maklumat yang diterima akan disusuli dengan tindakan segera oleh pihak Jabatan Perikanan atau Maritim. Sekiranya didapati berlaku pelanggaran, tindakan tegas termasuk penahanan bot, pengeluaran kompaun atau pendakwaan di mahkamah akan diambil berdasarkan kesalahan yang dilakukan,” jelas beliau.

Pang berkata, bagi kes pelanggaran lesen, pihak berkuasa akan mengenakan kompaun, manakala bagi kesalahan menceroboh perairan, kes terbabit akan dibawa ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -