Islamic Tourism Terengganu tarik minat pelancong

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Konsep pelancongan mesra Muslim atau Islamic Tourism yang diketengahkan Kerajaan Negeri Terengganu bukan sekadar pendekatan berlandaskan agama, sebaliknya menjadi strategi pelancongan berasaskan nilai dan jati diri negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris (foto atas) berkata, dasar itu selaras dengan latar belakang majoriti penduduk Terengganu yang beragama Islam.

“Konsep pelancongan mesra muslim ini kita nak tonjolkan di Negeri Terengganu agama Islam adalah yang terbesar penganutnya sebanyak 98 peratus.

“Justeru itu ciri-ciri keagamaan ini kita akan tonjolkan dalam bentuk industri pelancongan, yang pertamanya berkaitan dengan SOP pematuhan pemakaian setiap persembahan, kesenian, filem ataupun aktiviti sukan dan yang terkait dengan pelancongan.

“Kita menghala kepada mesra muslim dan kepada orang Islam semestinya kena diperketatkan kepada patuh syariah dan kepada yang bukan Islam kita mesra muslim iaitu pemakaian sopan, taklah kata pakai yang menjolok mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Wanita Terengganu Berinformasi di Dewan PPR Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Razali berkata, pendekatan itu juga mendapat maklum balas positif termasuk daripada penggiat seni dan penerbit filem tempatan serta luar negara seperti China, yang bersetuju mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.

“Sebenarnya, kita telah berjaya di mana para produser filem bersetuju dengan apa yang kita minta dan mereka boleh menjalankan penggambaran filem seperti yang dirancang.

“Ramai yang telah memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran, termasuk produser dari China, antaranya ialah Datuk Nancy Foo, produser Cina Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, persembahan kumpulan muzik kini turut diatur mengikut garis panduan berpakaian dan pengisian kandungan yang tidak melampaui batas.

“Persembahan daripada kumpulan Wings, misalnya, mereka akur dengan permintaan agar berpakaian sopan dan menyampaikan lagu-lagu yang tidak mengandungi unsur pemujaan atau lirik yang melalaikan sehingga boleh menyebabkan penonton hanyut dan hilang pertimbangan.

“Kita juga bagi taklimat kepada pengacara supaya memberi amaran kepada peserta. Kita asingkan ruang penonton lelaki dan wanita, pastikan suasana tidak bercampur bebas. Kita bukan larang, kita didik. Alhamdulillah kita telah laksanakan lebih sepenggal,” katanya.

Menurutnya, konsep tersebut kini menjadi ‘produk baharu’ yang mampu membezakan Terengganu daripada destinasi lain dalam dan luar negara.

“Orang bukan Islam datang nak tengok apa sebenarnya mesra muslim, pemakaian mesra Muslim dan itulah yang kita jual sekarang dan itu jadi satu produk baru untuk menggamit pelancong dan juga pengunjung hadir ke negeri kita dalam praktis Islam,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara agensi lain, beliau berkata, kebanyakan hotel dan pengusaha pelancongan di Terengganu kini turut memainkan peranan memberi maklumat awal kepada pelancong asing mengenai garis panduan pemakaian dan tingkah laku yang sesuai.

“Kalau nak mandi laut, baju mandi mesti sopan. Tak boleh pakai bikini di pantai awam. Pihak hotel pun faham dan beri kerjasama untuk nak elak perkara tak diingini,” katanya.

Razali berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan portfolio dakwah negeri dalam mempromosikan kempen ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ kepada pelancong.

“Kita nak pelancong datang ke Terengganu bebas, tak ada mabuk-mabuk, tak ambil dadah, jadi mereka datang di sini rasa jadi manusia yang sebenarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025

- Advertisement -