
BESUT: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan untuk menerajui PAS, meskipun berdepan faktor kesihatan ketika ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak timbul persoalan untuk Tuan Guru melepaskan jawatan kerana beliau masih menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada jentera parti di semua peringkat.
“Untuk Tuan Guru mengundur diri sebagai Presiden saya rasa tidak timbul persoalan itu semua di kalangan ahli-ahli pelbagai peringkat.
“Pertama, doakan kesihatan Tuan Guru supaya dapat terus kembali seperti biasa dan tentunya yang paling penting ialah kepimpinan dan buah fikiran Tuan Guru dapat memberi semangat kepada kami untuk meneruskan gerak kerja,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.
Beliau menyatakan demikian ketika menziarahi keluarga mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde di Kampung Telaga Nibong, Jertih di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, perjuangan dalam PAS bukanlah semata-mata berteraskan politik, sebaliknya melangkaui perjuangan biasa yang memerlukan komitmen kepimpinan berterusan.
“Tuan Guru masih dan sangat diperlukan. Saya telah sebut dalam ucapan saya prestasi yang terbaik bagi PAS sehingga muncul sebagai sebuah parti yang paling besar dalam negara kita ini memenangi kerusi di peringkat Dun dan Parlimen hampir 200 orang bila kita campur Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah di zaman Tuan Guru.
“Kenapa pula bila berada dalam keadaan cemerlang itu kita nak nak fikir satu benda yang bukan-bukan pula. Jadi tentulah kita mengharapkan supaya momentum yang sedia ada dibawa oleh Tuan Guru ini dapat diteruskan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan masih menunggu perkembangan terkini daripada keluarga Tuan Guru berhubung keadaan kesihatan beliau.
“Saya pun sebenarnya masih menunggu makluman daripada ahli keluarga, jadi tidak boleh komen lebih lanjut.
“Cuma kita semua berdoa supaya Tuan Guru selamat menjalani prosedur rawatan dan kembali sihat serta dapat bertugas seperti biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2025











