Kecekapan IJN rawat Presiden PAS dihargai

PAS mohon rakyat teruskan doa lindungi negara dari bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan rawatan Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN), semalam (17 Jun).

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berterima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan Tuan Guru yang selamat menjalani suatu prosedur rawatan di IJN.

“PAS turut merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan pakar dan petugas kesihatan di IJN atas kejayaan menjalankan prosedur rawatan ke atas Tan Sri Tuan Guru seperti yang telah dirancang tanpa sebarang komplikasi.

“Kepakaran, kecekapan serta komitmen tinggi di pihak IJN amatlah kami hargai,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN itu turut menyeru seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar negara ini sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.

“Akhirnya kami menyeru ahli-ahli PAS khususnya dan seluruh warganegara umumnya untuk sama-sama menitipkan doa agar negara kita dan semua rakyatnya sentiasa berada dalam kesejahteraan.

“(Dan juga) di bawah lindungan Tuhan dari segala bencana, mala petaka mahupun wabak penyakit, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, anakanda Tuan Guru, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, memaklumkan bahawa prosedur rawatan yang dijalani Tuan Guru telah disahkan berjaya.

“Alhamdulillah prosedur yang dijalani TG (Tuan Guru) berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sama-sama kita teruskan doa untuk kesembuhan TG,” katanya dalam status dimuat naik di media sosialnya. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -