Muslimat Arau akan keluar produk ekonomi sendiri

- Advertisement -

ARAU: Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Arau terus melangkah gagah dalam memperkasa jentera serta membina kekuatan dalaman organisasi menerusi penganjuran Retreat DMPKA 2025 yang berlangsung di Agro Homestay & Nursery, Padang Besar, semalam dan hari ini.

- Advertisement -

Retreat itu menghimpunkan seramai 20 ahli jawatankuasa DMPKA sesi 2025/2027 yang dipimpin ketuanya, Husna Hashim dalam suasana penuh ukhwah dan semangat perjuangan.

Menurut Husna, retreat kali ini bukan sekadar medan muhasabah dan penyusunan semula gerak kerja, tetapi medan menajamkan fikrah dan penyatuan hala tuju jemaah.

“Kita bukan hanya merancang aktiviti, tetapi kita membina kekuatan. Kita tetapkan hala tuju, kita sematkan kefahaman, dan kita gerakkan seluruh tenaga demi memastikan agenda Islam terus subur di Arau,” ujarnya.

Katanya, antara pengisian utama retreat ialah pembentangan takwim dan perancangan strategik bagi tahun 2025/2026, perbincangan hala tuju bagi setiap lajnah serta penekanan terhadap pembangunan jentera muda dan pengukuhan ekonomi jemaah.

Dalam pada itu, Husna turut memaklumkan bahawa DMPKA Arau kini sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk ekonomi berjenama sendiri yang dikenali sebagai ‘Al-Khadija’.

“Insya-Allah, kita sedang bangunkan satu produk Muslimat dengan jenama Al-Khadija sebagai inisiatif memperkasa dana dan ekonomi DMPKA.

“Ini adalah langkah awal kita ke arah membina kekuatan kewangan jemaah secara berdaya saing dan berdikari,” katanya lagi.

Tambahnya, antara program besar yang telah disusun dalam takwim tahunan DMPKA termasuk Himpunan Jentera Pilihan Raya Muslimat Arau (HIRAU) yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025.

“Program ini dijangka menghimpunkan seluruh tenaga penggerak Muslimat di peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM) dan cawangan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pilihan raya.

“Selain itu, program Hijrah Wanita Muda iaitu satu inisiatif khas untuk mendekati dan membina kekuatan wanita muda Arau yang dijangka berlangsung pada Ogos 2025.

“Program ini memberi fokus kepada pengisian tarbiah, latihan kepimpinan serta pengukuhan peranan wanita muda dalam saf perjuangan,” katanya.

Retreat tersebut juga ujarnya, menjadi medan untuk mengukuhkan ukhwah dalam kalangan AJK serta menyuntik semangat baru untuk meneruskan gerak kerja jemaah dengan lebih teratur, bersistem dan berkesan.

“Kita harap segala yang telah dirancang ini bukan sekadar catatan atas kertas, tetapi akan diterjemahkan dalam bentuk amal yang tersusun dan istiqamah. Setiap lajnah ada tanggungjawab, dan setiap ahli ada peranan,” tegas Husna.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada seluruh barisan AJK yang telah memberikan komitmen sepenuh hati sepanjang program berlangsung.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan bersama kita dalam menyusun langkah perjuangan ini. Kita bukan sekadar berprogram, tetapi kita sedang membina kekuatan ummah,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dengan semangat kebersamaan, DMPKA Arau tekad untuk terus menjadi tulang belakang kepada perjuangan PAS di peringkat kawasan, memacu perubahan dengan agenda Islam sebagai teras utama.

“Kami percaya, dengan semangat, kesungguhan dan keikhlasan, DMPKA akan terus maju dan menjadi contoh kepada Dewan Muslimat di seluruh negara,” kata Husna. – HARAKAHDAILY 15/6/2025

- Advertisement -