
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jabatan Menangani Isu Negeri (JAMIN) menjawab dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas kononnya banyak projek di negeri itu tinggal ‘papan tanda’ sebagaimana disiar Utusan Malaysia, semalam.
Hakikatnya, isu-isu dibangkit ahli politik daripada Umno itu berhubung beberapa projek pembangunan di Kelantan sebenarnya telahpun dijawab secara rasmi oleh Kerajaan Negeri dalam khususnya Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada April 2025 lalu.
“Berdasarkan rekod jawapan daripada Kerajaan Negeri adalah ditegaskan bahawa semua projek yang dibangkitkan oleh ADUN Galas adalah projek di bawah tanggungjawab dan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
“Termasuk Projek Tebatan Banjir, melibatkan lima projek bernilai RM910.5 juta diumum Perdana Menteri; juga Kompleks Sukan Bukit Merbau (SUKMA 2028), dengan peruntukan RM411 juta, dan projek naik taraf Pasar Siti Khadijah, peruntukan RM5.5 juta.
“Semua projek ini berada di bawah seliaan kementerian dan agensi Persekutuan berkaitan, dari segi pelantikan kontraktor, jadual pelaksanaan, dan pemantauan kemajuan. Kerajaan Negeri hanya bertindak sebagai penyelaras serta pemudah cara (facilitator).
“(Iaitu) bagi memastikan kelulusan tapak, teknikal tempatan dan sokongan pentadbiran berjalan lancar. Kerajaan Negeri sentiasa mengemukakan permintaan dan maklum balas agar pelaksanaan projek-projek ini dipercepatkan demi kepentingan rakyat Kelantan.
“Ini termasuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Tindakan Negeri (MPTNg) dan pelbagai platform rasmi bersama agensi Persekutuan,” jelas JAMIN dalam kenyataan dikeluarkan.
Menurut JAMIN, sebarang kelewatan atau kegagalan pelaksanaan seharusnya dikemukakan terus kepada pihak kementerian yang bertanggungjawab dan bukan ditujukan kepada Kerajaan Negeri semata-mata.
Bidas kenyataan tersebut, tuduhan bahawa projek-projek ini sekadar tinggal ‘papan tanda’ adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan rakyat, jika tidak dijelaskan dengan tanggungjawab agensi sebenar.
“Berkaitan Projek Terminal Bas KB Sentral KB Sentral, berdasarkan keputusan terkini Kerajaan Negeri bersetuju melantik syarikat CCCC untuk kerja-kerja rawatan tanah dengan kos RM 12 juta dalam tempoh masa 14 bulan.
“Oleh itu persoalan peruntukan RM 37.4 juta adalah tidak berbangkit. Kerajaan Negeri akan terus komited memberi kerjasama penuh demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat Persekutuan yang harmoni,” tegas JAMIN.
Berikut disertakan juga secara ringkas jawapan rasmi daripada Persidangan DUN Kelantan terhadap perkara-perkara atau isu dibangkitkan:
Isu Tanah Adat Orang Asli di Galas
- • Tiada istilah ‘Tanah Adat’ Orang Asli di Semenanjung dalam Kanun Tanah Negara 1965 atau Akta Orang Asli 1954.
- • Tanah Orang Asli di Kelantan diwartakan di bawah Kanun Tanah Negara, bukan Akta Orang Asli.
- • Beberapa kawasan telah diwartakan seperti Aring 5, Kampung Meranto, dan kawasan Lojing.
Status tanah dan pampasan di Nenggiri
- • 20 rumah dirobohkan kerana penempatan atas tanah rizab kerajaan.
- • Kerajaan Negeri menawarkan lot kediaman di atas Tanah Kerajaan, perlu permohonan rasmi oleh pihak berkenaan.
- • Bayaran ex-gratia daripada Persekutuan sebanyak RM680,000 disyorkan untuk 164 pemilik struktur terjejas oleh projek Jalan Lingkaran Tengah Utama yang merupakan projek Persekutuan.
- • Proses pengeluaran geran bagi permohonan tahun 2024 sedang berjalan.
Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok
- • Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan pembinaan benteng secara sekali gus.
- • Tempoh siap dipercepat dari tahun 2030 kepada tahun 2028 sebagai mitigasi banjir.
Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg)
- • Dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar dan Menteri Persekutuan.
- • Berperanan menyelaras pelaksanaan Rancangan Malaysia (RMK), memantau projek pembangunan, dan kerjasama agensi negeri dan persekutuan.
Dijawab oleh:
Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud
Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah
Insentif Pelaburan oleh Kerajaan Negeri Kelantan
- Fokus sektor strategik
- Industri pembuatan bernilai tinggi
- Teknologi hijau
- Semikonduktor
- Pelaksanaan melalui dasar pelaburan Kelantan
- Penubuhan Jawatankuasa Sehenti Pelaburan Kelantan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan pelaburan.
- Pengecualian Bayaran Cukai Pintu untuk tahun pertama dan kedua dari tarikh operasi atau selepas mendapat CCC.
- Diskaun Premium Tanah dan Premium Ubah Syarat Tanah
- 40% diskaun pada tahun pertama
- 30% diskaun pada tahun kedua dan ketiga
- Kelulusan Segera
- Kebenaran Merancang
- Pelan Bangunan
- Projek oleh Jawatankuasa Kawal Selia Merancang & Menyelaraskan Projek Pembangunan Negeri Kelantan (JKMPP)
Insentif tambahan oleh Kerajaan Persekutuan (MIDA)
- Taraf Perintis
- Pengecualian cukai pendapatan 70% atau 100% untuk tempoh 5 atau 10 tahun.
- Elaun cukai pelaburan
- Elaun 60% atau 100% ke atas perbelanjaan modal yang layak untuk 5 tahun.
- Elaun pelaburan semula
- Elaun 60% ke atas perbelanjaan modal layak untuk 15 tahun berturut-turut.
- Pengecualian duti import
- Untuk bahan mentah, komponen, mesin dan peralatan.
Pelaburan semasa di Kelantan
RM3 bilion jumlah pelaburan domestik dan asing telah dicatatkan menerusi 30 projek perkilangan yang telah diluluskan dari tahun 2020 hingga 2024
Strategi kerajaan negeri untuk menarik pelabur ke negeri Kelantan:
- • Mempromosi kawasan industri Tok Bali seluas 200 hektar yang lengkap dengan infrastruktur dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
- • Mempromosi taman industri sistem binaan (IBS) di Sungai Bagan seluas 200 ekar kini mencapai 80.9% progres siap.
- • Menganjurkan Invest @ Kelantan Forum & Expo (INFEX) sebagai platform berkongsi potensi pelaburan di Kelantan.
- • Akan mengadakan misi pelaburan bersama MIDA pada suku ketiga tahun 2025 ke Osaka, Jepun
- • Kerajaan negeri menawarkan insentif percukaian yang kompetetif
- • Pengecualian bayaran cukai pintu bagi tahun pertama dan kedua tarikh mula operasi.
- • Kelonggaran caj bayaran pembangunan CP dan ISF.
MITI telah meluluskan Kilang Simen Bersepadu di Gua Musang seluas 635 ekar. Pembangunan kilang berasaskan kayu seluas 100 ekar.
Jawapan oleh:
Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan
Projek Tebatan Banjir Kelantan dan Kuasa Persekutuan
- • Dua penyelesaian utama: Empangan Lebir dan PLSB Sungai Golok
- • PLSB boleh kawal 60% aliran sungai – kurangkan limpahan & risiko banjir
- • Fasa 1 PLSB Sungai Golok: RM576 Juta
- • Tertakluk kuasa Persekutuan (perancangan hingga pelaksanaan)
- • JPS akan pasang siren amaran awal banjir di kawasan berisiko
Projek jalan kampung dan jalan negeri
Tahun 2020-2024:
- 2709 jalan kampung
•206 jalan negeri
•Jumlah peruntukan: Hampir RM110 Juta (dari Kerajaan Negeri)
Penyelenggaraan jalan
- Permohonan ke Persekutuan: RM400 juta/setahun
- Diluluskan: RM100 juta sahaja
- JKR senarai pendek jalan paling kritikal untuk diselenggara
Isu air tidak berhasil (NRW)
- Paip perlu diganti: 4,000 kilometer
- Status (sehingga Mac 2025): siap 91.0 kilometer
- Dalam pembinaan: 664.3 kilometer
- Baki: 3250.7 kilometer
- NRW turun dari 54.5% (2023) ke 53.7% (2024)
- Setiap 1% pengurangan = RM1 juta penjimatan
Status LRA Limau Kasturi
- Naik taraf LRA Limau Kasturi diluluskan dibawah RP5, RMK-12
- Peruntukan oleh KKDW
Jawapan oleh:
DAto’ Dr Izani Husin
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar
Kelantan Jelapang Makanan Negara
Pembangunan Tanah Terbiar
- • Mengenal pasti tanah terbiar berpotensi dimajukan sebagai tapak pertanian.
- • RM 12,600,000.00 peruntukan tahun 2006-2024.
- • RM 13,736,600.00 peruntukan tahun 2008-2019.
- • RM 26,336,600.00 peruntukan keseluruhan sepanjang 2006-2024.
- • Tanah terbiar milik sendiri atau sewaan dibangunkan tanaman kekal seperti kelapa, durian, limau madu serta tanaman singkat masa (cash crop) seperti tembikai, nenas, cili, timun, jagung, melon dan sayur-sayuran.
Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Lojing
- • Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Lojing (CPPC LOJING) memberi manfaat kepada petani Kelantan.
- • Jenama produk pertanian Kelantan dapat diperkenalkan dan hasil aktiviti pertanian dapat dikawal.
Status Pembangunan Projek Tenusu
- • Ternakan Rong Chenok melibatkan penternakan lembu pedaging bukan ternakan lembu tenusu.
- • Melibatkan ternakan lembu Kedah-Kelantan dan disasarkan 50 ekor dalam satu-satu masa.
- • PKPNK memfokuskan ternakan lembu pedaging Naimbif baka charolais dan sasaran 70 ekor dalam satu-satu masa.
- • Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Susu (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh, sasaran pengumpulan susu 2,000 liter sehari dalam tempoh 5 tahun.
- • Projek Pengukuhan Industri Kambing Tenusu bermula tahun 2023.
Jawapan oleh:
Dato’ Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi
Pengurusan Kerajaan Tempatan
Indeks Kebahagiaan Bandar:
- • Kuala Krai dinobat sebagai bandar ketiga Paling Bahagia di Malaysia 2025 (Markah: 99.9%).
- • Semua bandar di Kelantan melepasi tahap Indeks Kebahagiaan Nasional.
Penguatkuasaan kebersihan PBT:
- • Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memulakan fasa penguatkuasaan kebersihan.
- • CCTV dipasang di lokasi pembuangan sampah strategik.
- • Denda hingga RM2,000 bagi yang buang sampah di luar tong.
Isu Akta 672 – Pembersihan Awam:
- • Kelantan tidak perlu menerima Akta 672 kerana Perkara 82 (A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
- • Permohonan bantuan belum diluluskan meskipun Kelantan melaksanakan dasar Kelantanku Bersih 2022 selaras dasar Kebersihan Negara 2022.
Projek landskap Bandar Kota Bharu (Bulatan Kijang)
- • Projek bernilai RM40 juta, diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan (RMK-11).
- • Diluluskan pada 26 Februari 2019, dilaksanakan pada 2024.
Naik taraf Pasar Besar Siti Khadijah:
- • Projek diluluskan pada 2021 di bawah RMK-12.
- • Pelaksanaan bermula tahun 2024.
Jawapan oleh:
Hilmi Abdullah
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar – HARAKAHDAILY 3/6/2025




















