
KEMAMAN: Terengganu adalah milik semua rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, termasuk mereka yang tidak mengundi PAS pada pilihan raya lalu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk memimpin dan membela nasib setiap warga Terengganu secara adil dan saksama.
“Terima kasih kepada semua para hadirin, semua rakyat yang memberi kepercayaan kepada kami untuk memimpin Terengganu sejak dari 2018 lagi. Terengganu ini adalah negeri kita semua.
“Bukan sahaja kepada mereka yang memberi undi kepada PAS dalam pilihan raya yang lalu, bahkan mereka yang tak undi pun, mereka merupakan rakyat Tengganu yang wajar dipimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 di Padang Astaka, di sini malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut mengulas konsep ‘maju, berkat dan sejahtera’ yang menjadi visi pentadbiran negeri.
“Kita dulu selalu sebut, kita nak pimpin rakyat dan Terengganu untuk ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’. Apa maksud maju? Apa maksud berkat? Apa maksud sejahtera?” katanya.
Mengimbas pengalamannya pada 2019 sebelum pandemik Covid-19, Samsuri berkongsi lawatannya ke Norway untuk meneliti pendekatan pengurusan hasil negara yang boleh dijadikan teladan.
“Saya pergi ke Norway sebuah negara Scandinavia dengan suatu hasrat untuk melihat bagaimana cara pengurusan, Norway. Tabung kewangan Norway yang mendapat hasil minyak dan gas yang banyak.
“Semua hasil Norway ini daripada minyak dan gas dimasukkan dalam satu tabung yang dijaga oleh kerajaan dan diamanahkan kepada mereka yang pakar untuk mengurus tabung ini.
“Kerajaan hanya boleh ambil empat peratus sahaja untuk menguruskan dan pembangunan negara. Empat peratus sahaja daripada wang hasil petroleum dan gas. Selebihnya 96 peratus digunakan untuk pelaburan,” katanya.
Justeru, beliau menyatakan bahawa model pengurusan kewangan seperti itu wajar dicontohi dalam memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan dan berhemah demi masa depan rakyat. – HARAKAHDAILY 30/5/2025




















