PKR mimpi tawan Kelantan, berterusan retorik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keyakinan PKR untuk menawan Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang disifatkan tidak lebih sekadar mimpi di siang hari apabila parti itu terus gagal memahami denyut nadi rakyat negeri ini, kata Mohd Firdaus Mohamed Nawi.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan itu menyifatkan kenyataan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa PKR mampu menawan Kelantan mungkin kedengaran meyakinkan dalam dewan berhawa dingin, namun ia mustahil berlaku di bumi Tok Kenali dan Tok Guru.

“Sudah sekian lama naratif ‘Kelantan akan ditawan’ dimainkan, tetapi realitinya PKR masih terasing dari jati diri rakyat negeri ini, khususnya anak muda yang semakin bijak menilai antara retorik politik dan perjuangan sebenar.

“Kelantan bukan negeri biasa. Ia berteraskan agama, adat dan maruah. Anak mudanya tidak mudah terpedaya dengan janji manis tanpa tindakan,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat Kelantan mahu pemimpin yang hidup bersama mereka, bukan yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Seandainya PKR hanya mendekati anak muda dengan pendekatan politik murahan, tanpa menyelami ‘jiwo ore Kelate’, mereka tidak akan faham sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

Lebih membimbangkan, kata Firdaus, PKR dilihat mengamalkan politik hipokrasi apabila masih menerima pemimpin daripada PAN, walaupun laungan reformasi dan integriti sering dicanang.

“Ini bukan sekadar soal strategi, ini soal moral dan maruah politik. Jika gabungan pun tidak mampu dipertahankan, bagaimana rakyat mahu yakin mereka mampu membela negeri?” soal beliau.

Menurutnya, PAS kekal menjadi pilihan kerana konsistensi dan prinsip perjuangan yang jelas serta penglibatan aktif dalam pelbagai aspek pembangunan anak muda seperti e-sukan, tarbiah, sukan rakyat, kemahiran dan kebajikan.

“PAS tidak pernah khianat gabungan, tidak main tikam belakang, dan tidak sanggup gadai prinsip demi kerusi,” tegasnya yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu.

Katanya, Kelantan bukan tanah yang boleh dijual beli dengan janji kosong atau manipulasi politik, tetapi ia memerlukan pemimpin yang faham denyut rakyat dan sanggup berjuang bersama mereka sepanjang masa, bukan hanya semasa kempen.

“Selagi PKR tidak mampu memperbaiki moral dalaman, menghapus budaya khianat, serta memahami erti kesetiaan dan perjuangan, cita-cita mereka hanya akan kekal sebagai igauan,” tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan, sekiranya PKR mahu masuk gelanggang Kelantan, mereka perlu bersedia berdepan dengan gelombang rakyat.

“Jangan terkejut andai akhirnya, ‘keluar tak berbaju, balik tak bersepatu’,” katanya sinis. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -