
KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) iaitu gabungan 120 NGO Islam di Malaysia, menyatakan sokongan penuh terhadap Himpunan Melayu Berdaulat yang akan diadakan pada esok 24 Mei di hadapan Sogo, di sini.
Pengerusinya, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berkata, himpunan aman tersebut berobjektifkan untuk menzahirkan suara hati umat Melayu Islam secara sah, beradab dan bertanggungjawab dalam menuntut keadilan.
Juga tambahnya, menegakkan kebenaran serta mempertahankan hak-hak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedaulatan negara.
“PEMBELA percaya himpunan tersebut adalah salah satu mekanisme yang sah dan demokratik bagi menzahirkan perasaan orang Melayu menuntut dan membela hak yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bukan bertujuan menimbulkan kebencian kepada mana-mana golongan kerana hak yang dituntut dan dibela adalah berdasarkan undang-undang tertinggi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, PEMBELA menyeru kepada semua pihak yang berhimpun agar mengekalkan keamanan, menjaga akhlak serta mengutamakan adab dan ketertiban sepanjang himpunan tersebut.
“Marilah kita menunjukkan contoh terbaik kepada dunia bahawa rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu Islam, mampu berhimpun secara aman dan penuh hikmah demi masa depan negara,” terangnya.
Beliau berkata, walaupun terdapat orang politik sama ada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang dalam himpunan ini, ia tidak menjadikan himpunan tersebut bersifat pro-politik kepartian kerana isu-isu berkaitan Melayu dan Islam melangkaui sempadan politik kepartian.
“Ia adalah isu kenegaraan, kesejahteraan rakyat dan kelangsungan jati diri bangsa,” ujar Zainul Rijal turut menegaskan sudah sampai masanya NGO Islam menggarap prinsip keadilan dan kesaksamaan mengatasi kepentingan politik, demi menjaga agama, bangsa dan negara.
Katanya, PEMBELA menyeru agar semua pihak sama ada NGO, parti politik, tokoh masyarakat mahupun individu untuk bersatu padu dalam semangat perpaduan nasional.
Ia menurutnya, kerana kekuatan sebagai rakyat berperlembagaan hanya akan bermakna apabila saling menghormati, memahami dan berganding bahu dalam membina negara Malaysia yang berdaulat.
“Sebagai kaum majoriti di dalam negara ini, orang Melayu Islam mempunyai hak, keistimewaan, maruah dan kehendak yang dibenarkan oleh undang-undang di samping tidak mendiskriminasi kaum minoriti.
“Hak keistimewaan, maruah dan kehendak ini perlu dihormati oleh mana-mana orang, badan atau organisasi yang memegang tampuk pemerintahan,” jelasnya.
Menurut beliau, kegagalan menghormati perkara-perkara tersebut akan menyebabkan sokongan orang Melayu akan berkurangan.
“PEMBELA amat prihatin terhadap kegagalan menghormati perkara tersebut dan tidak akan teragak-agak mendesak agar kegagalan tersebut diperbetulkan dan dihapuskan demi menjamin keharmonian dan kedaulatan negara.
“Ayuh kita bersatu demi Malaysia yang lebih aman, adil dan bermaruah sebuah negara yang berdaulat, yang dihormati dunia dan diberkati Ilahi,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2025











