Perlis lancar ECOMPS, aplikasi aduan pintar digital

Tingkat kecekapan perkhidmatan awam

Menteri Besar Perlis
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis melangkah setapak lagi ke arah merealisasikan hasrat menjadi sebuah negeri pintar menerusi pelancaran sistem aplikasi aduan atas talian, Electronic Complaint Perlis System (ECOMPS).

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengumumkan pelancaran aplikasi tersebut dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Menurut beliau, ECOMPS merupakan satu inovasi digital hasil cetusan idea dan pembangunan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, yang bertujuan memperkasa sistem penyampaian awam secara digital, seiring dengan matlamat utama Agenda Perlis Digital.

“Sistem ini dibangunkan untuk menggantikan kaedah aduan manual kepada satu sistem digital yang pantas, efisien dan mesra pengguna,” ujarnya.

Melalui aplikasi ini katanya, orang awam dan penjawat awam khususnya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri boleh membuat aduan berkaitan kerosakan infrastruktur seperti lampu jalan, lampu hiasan, lampu isyarat, bangunan kerajaan dan jalan raya dengan mudah hanya melalui telefon bimbit.

Mohd Shukri turut menjelaskan bahawa ECOMPS bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat tetapi juga menjadi medium penghubung antara agensi-agensi berkaitan.

Termasuk katanya, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan yang dikemukakan.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sistem ini. Ia membuktikan komitmen kita untuk mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri turut menekankan aspek pembinaan rohani dalam kalangan penjawat awam, yang menurutnya penting bagi menjamin integriti dan keberkatan dalam menjalankan amanah kerja.

Beliau mengaitkan perkara ini dengan sambungan kepada Kempen “Nak Tenang? Nak Bahagia? Jom Baca al-Quran” yang kini menjadi budaya spiritual dalam pentadbiran negeri.

“Marilah kita memberikan perhatian kepada ayat ke-28 dari Surah ar-Ra’d yang bermaksud, “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Ayat ini mengingatkan kita bahawa ketenangan hidup tidak boleh dicapai dengan hanya kebendaan tetapi melalui hubungan rapat dengan Allah SWT,” jelas beliau.

Mohd Shukri turut menekankan bahawa amalan seperti membaca dan menghayati Al-Quran harus menjadi sebahagian daripada rutin harian bagi penjawat awam, kerana hati yang tenang akan mendorong kepada tindakan dan keputusan yang lebih berintegriti serta diberkati.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menjunjung titah Tuanku Raja Perlis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang baru-baru ini menegur penjawat awam agar sentiasa menjaga etika dan sikap ketika menjalankan tugas.

“Etika kerja kita mencerminkan keperibadian kita. Jangan menunjukkan sikap yang tidak elok ketika bekerja kerana kita semua menjadi wajah kepada pentadbiran ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -