
ALOR SETAR: Pengiktirafan Kulim Technology Park Corporation (KTPC), sebagai Majikan Terbaik Negara 2025, merupakan anugerah tidak ternilai khususnya kepada kakitangan syarikat berkenaan.
Malah, ia juga secara tidak langsung menunjukkan komitmen terbaik Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi KTPC dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Dato’ Mohd Sahil Zabidi serta seluruh warganya.
Pengerusi jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pengiktirafan ini adalah bukti nyata komitmen KTPC dalam menjaga kebajikan kakitangan dan memperkukuh tadbir urus sumber manusia.
Termasuk katanya, menjalankan tanggungjawab sosial kepada komuniti dan negara dengan cemerlang.
Terdahulu KTPC telah dinobatkan menerima anugerah pengiktirafan Majikan Terbaik Negara 2025 sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan, bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, 1 Mei lalu.
Sejak KTPC diaktifkan pada 1996, syarikat tersebut telah menempa cemerlang, antaranya kemasukan 56 pelabur berteknologi tinggi, melibatkan 12 negara dengan jumlah pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak RM181.5 billion.
KTPC menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kejayaan itu juga mencerminkan aspirasi Kedah untuk terus unggul sebagai negeri berindustri yang progresif dan berdaya saing.
“Saya percaya kejayaan ini akan terus menjadi pembakar semangat untuk warga kerja KTPC dan kita semua untuk terus melakar kecemerlangan, bukan sahaja di peringkat negeri mahupun nasional, malah di peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” kata Dr Haim. – HARAKAHDAILY 6/5/2025




















