ERTCF angkat pelancongan Pantai Timur lebih tinggi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Eastern Region Tourism & Culture Fair 2025 (ERTCF) yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Julai depan dijangka menjadi platform mengangkat pelancongan Pantai Timur ke tahap lebih tinggi.

- Advertisement -

Program bertempat di Hotel Perdana itu akan menghimpunkan pemain industri dari Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan pelbagai pengisian melibatkan pelancongan dan kebudayaan serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pelaksanaan ERTCF 2025 membuka ruang kerjasama erat antara negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan secara kolektif.

“Antara aktiviti dalam program ini ialah pameran pelancongan antara agensi dan penggiat seni, persembahan kebudayaan pelbagai kaum, sesi business matching, bengkel pelancongan, seminar, pameran produk seni, kraftangan, batik serta kulinari tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Timur 2025 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Menurutnya, penganjuran program ini bukan sahaja mempromosi keunikan pelancongan Pantai Timur, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya yakin program ini mampu meletakkan negeri-negeri di Pantai Timur sebagai satu destinasi pelancongan serantau yang unik, inklusif dan berdaya tahan.

“Ia juga memberi peluang kepada penglibatan vendor kecil, usahawan komuniti dan anak muda dalam ekosistem pelancongan yang semakin berkembang,” ujarnya lagi.

ERTCF 2025 turut memberi penekanan kepada pelancongan berasaskan budaya, warisan dan kesihatan, selain memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan industri kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.

Pameran ini juga akan menampilkan seni tradisional, masakan, pakaian serta adat resam Kelantan, Terengganu dan Pahang sebagai tarikan pelancong.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bayam Travel, Nik Zulhisham Datuk Azman dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

- Advertisement -