Projek IPR-INTAN bantu golongan B40 jana pendapatan

Sehingga RM2,000 sebulan

- Advertisement -

MACHANG: Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama bagi Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) telah berlangsung dengan jayanya di Kampung Bechah Kemuning, di sini semalam.

- Advertisement -

Projek berimpak tinggi ini bakal melibatkan aktiviti penanaman cili secara fertigasi pintar dan dijangka memberi manfaat besar kepada golongan miskin tegar, miskin dan B40 dengan sasaran pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

IPR-INTAN merupakan usaha bersama antara Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama ECERDC, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) serta PPK Bukit Awang Pasir Puteh.

Projek ini dijalankan di Mukim Padang Kemunchup, Machang di atas tanah seluas 50 ekar dan akan dilaksanakan secara dua fasa yang akan mula dilaksanakan pada Jun 2025.

Fasa pertama melibatkan kawasan seluas 30 ekar dengan penyertaan 60 orang pekerja tempatan, manakala fasa kedua akan melibatkan 20 ekar dan 40 orang pekerja.

Secara keseluruhan, seramai 100 orang pekerja tempatan akan terlibat dalam pelaksanaan projek ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian moden di Kelantan.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam merangka pembangunan yang bersifat inklusif dan berasaskan keperluan sebenar rakyat, terutama dalam sektor ekonomi asas.

“Projek IPR-INTAN ini dilihat sebagai antara inisiatif bersepadu yang mampu melonjakkan pendapatan rakyat serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan semata-mata,” katanya pada majlis itu semalam.

Dimaklumkan, projek ini turut melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM10.48 juta. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

- Advertisement -