Hospital Changkat Melintang: KKM akui kekurangan staf

- Advertisement -

PARIT: Persoalan mengenai status sebenar Hospital Changkat Melintang yang sekian lama menjadi tanda tanya rakyat setempat akhirnya mendapat jawapan rasmi dari Parlimen.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, persoalan itu diajukan bagi memastikan hospital yang telah dibangunkan tidak hanya menjadi struktur fizikal yang terbiar, tetapi benar-benar berfungsi untuk rakyat.

“Jawapan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah KKM merancang untuk mengekalkan sebahagian wad di hospital itu bagi menempatkan perkhidmatan klinikal.

“Antara perkhidmatan klinikal adalah seperti kes-kes penyakit berjangkit serta kes-kes perubatan dan pediatrik yang stabil dari Hospital Seri Manjung dan Hospital Seri Iskandar.

“Namun begitu, perancangan ini belum dapat dilaksanakan disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja yang mencukupi untuk menggerakkan operasi hospital tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Muhammad Ismi berkata, Hospital Changkat Melintang dijangka akan memainkan peranan penting sebagai pusat rawatan tambahan, terutama bagi kes-kes yang tidak kritikal tetapi memerlukan rawatan lanjut.

Beliau berkata, fungsi itu amat penting untuk mengurangkan kesesakan di hospital-hospital berhampiran.

“Namun, kegagalan melaksanakan perancangan ini kerana kekangan tenaga kerja adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan.

“Jangan biarkan bangunan berdiri megah, tetapi kosong tanpa fungsi. Setiap hospital yang dibina perlu memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Ismi mengajukan soalan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung status operasi Hospital Changkat Melintang dalam perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Februari lalu. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

- Advertisement -