Rakam tahniah atas intervensi PDRM banteras dadah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan atas kejayaan membanteras kegiatan penyeludupan dadah ke negeri ini melalui sempadan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dan semua jabatan serta agensi terlibat atas kejayaan mengurangkan pengedaran dadah sebanyak 60 peratus di negeri ini.

Katanya, kejayaan tersebut berikutan penutupan laluan haram di sempadan Kelantan dan negara jiran, sebagaimana yang dilaporkan semalam oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

“Usaha ini menunjukkan kesungguhan agensi-agensi yang terlibat dalam kawalan keselamatan, khususnya di sempadan, sehingga membuahkan hasil yang sangat bermakna,” katanya ketika memberitahu Harakahdaily semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan semalam yang memaklumkan kadar kemasukan dadah ke Kelantan berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Menurut Mohd Yusoff lagi, pengurangan itu berlaku berikutan langkah penutupan laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sejak Disember tahun lalu.

Menurut Mohamed Fadzli lagi, penutupan pengkalan haram merupakan antara langkah yang amat wajar dan sepatutnya telah lama dilaksanakan.

Beliau menambah, rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya selama ini sangat terkesan akibat penyeludupan dadah oleh pihak tidak bertanggungjawab, hingga menjadikan Kelantan sebagai antara negeri tertinggi dalam masalah pengedaran bahan terlarang itu.

“Semoga usaha ini akan memberi infak yang lebih baik untuk masa akan datang, demi kesejahteraan rakyat dan negeri Kelantan.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu langkah yang sangat baik, hasil usaha bersungguh-sungguh pihak PDRM yang amat dihargai dan wajar dipuji.

“Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga pada PDRM Kelantan atas usaha ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -