
KANGAR: Selepas mencetuskan impak positif melalui Kempen ‘Jom Solat’, Kerajaan Negeri Perlis kini memperhebat usaha membina masyarakat berteraskan Al-Quran dengan melancarkan pula Kempen ‘Nak Tenang, Nak Bahagia, Jom Baca Al-Quran’.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M di Dewan 2020, di sini malam tadi.
Menurut beliau, kempen terbaru ini digerakkan seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Al-Quran sebagai tunjang utama pembinaan insan dan masyarakat madani.
“Kempen ‘Jom Solat’ telah berjaya mengimarahkan masjid dan surau melalui solat berjamaah. Kini kita perlu melangkah lebih jauh.
“Kita lancarkan pula ‘Nak Tenang, Nak Bahagia, Jom Baca Al-Quran’ bagi memasyarakatkan budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan harian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, setiap dasar negeri terus berlandaskan prinsip ‘Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur’, di mana Al-Quran dan Sunnah menjadi rujukan utama.
“Perlis menjunjung tema ‘Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju’ serta ‘Perlisku Bestari, Berkat Lestari’. Semua kempen dan dasar kita bertujuan melahirkan rakyat yang celik agama dan berakhlak mulia,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyatakan pelbagai program lain telah diadakan untuk memperkasa institusi tahfiz, memperkukuh sistem pendidikan Islam serta menggerakkan dakwah digital ke arah memasyarakatkan Al-Quran.
Sementara itu, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M yang berlangsung di Perlis menjadi simbol komitmen negeri tersebut dalam memartabatkan Al-Quran di peringkat nasional.
Majlis ini yang menelan kos lebih RM1 juta, sebahagiannya ditanggung Kerajaan Negeri Perlis dengan sumbangan tambahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Meskipun jumlah peruntukan lebih kecil berbanding negeri-negeri lain sebelum ini, Mohd Shukri melahirkan rasa syukur kerana majlis tetap berjalan dengan penuh gilang-gemilang.
Mohd Shukri mengingatkan semua mengenai hadis Rasulullah SAW berkaitan sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya, sekali gus menegaskan pentingnya memelihara hubungan akrab dengan Al-Quran.
“Marilah kita jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup, penyatu ummah dan sumber inspirasi membina ketamadunan unggul,” serunya.
Majlis malam tadi turut diserikan dengan kehadiran qari, qariah, huffaz serta delegasi seluruh negara, menjadikan Perlis medan mengangkat kalamullah ke mercu kegemilangan. – HARAKAHDAILY 28/4/2025




















