Tiga Exco Terengganu terima darjah kebesaran DPMT

Dato' Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 23 individu menerima penganugerahan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (DPMT) yang membawa gelaran Dato’, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran berkenaan di Majlis Istiadat Penganugerahan berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

- Advertisement -

Antara penerima darjah DPMT ialah tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Turut menerima anugerah ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir Amiruddin Alaldin; Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulung; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan serta Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Penganugerahan itu diberikan bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan besar mereka dalam pembangunan negeri dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Untuk rekod, seramai 130 individu menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang hari ini.

Dato’ Ariffin Deraman
Dato’ Hanafiah Mat

Mendahului senarai penerima ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings Berhad, Tan Sri Yap Suan Chee.

Mereka dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad; Konsultan Perhotelan dan Pelancongan Sukan, Abdul Rahman Zabidin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Toh Puan Seri Nur Rahmah Mohd. Zin pula dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk.

Penaung Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia, Datuk Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn. Bhd., Datuk Mazli Mohan Alias turut menerima darjah kebesaran berkenaan. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

- Advertisement -