Anak Perlis cipta sejarah lompat 25 kereta

Aksi Sarjan Muhammad Akmal menunggang motosikal melepasi 25 kereta.
- Advertisement -

KANGAR: Detik penuh gilang-gemilang tercatat di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi apabila anak jati Perlis, Sarjan Muhammad Akmal Shaari, mencipta sejarah tersendiri dengan melakukan lompatan akrobatik melepasi 25 buah kereta.

Aksi luar biasa ini menjadi simbolik kepada 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis yang disambut penuh adat istiadat dan semangat kenegaraan.

- Advertisement -

Program bersejarah ini dianjurkan sempena Program Sisipan Tentera Darat dalam rangkaian Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin, hasil kerjasama erat antara kerajaan Perlis dan Markas Briged 30.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah, berkenan berangkat mencemar duli ke majlis penuh warna-warni ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mengiringi keberangkatan baginda, turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Speaker DUN Perlis; Rus’sele Eizan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail; Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad bin Abdul Halim, ; serta barisan pegawai tinggi ketenteraan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Semangat WOGOS dimanifestasikan

Program malam tadi bukan sekadar persembahan ketenteraan, malah merupakan lambang kesatuan seluruh agensi kerajaan dan masyarakat melalui pendekatan Whole of Government and Whole of Society (WOGOS) yang diterajui kerajaan Perlis.

Pelbagai persembahan hebat digabungkan termasuk persembahan atau acar kawad (TATU), Formasi Drone, Drumline Tentera Utara Darat Malaysia (TUDM), Tempur Tanpa Senjata (TTS), pertunjukan anjing perang, kawad patung, acara bebas (Freefall), serta pertunjukan bunga api yang memukau.

Namun, detik paling mendebarkan sudah pastilah lompatan bersejarah Sarjan Muhammad Akmal Shaari, dari pasukan Army Red Warrior, yang mengerah segala kemahiran, keberanian dan ketangkasan bagi menakluk 25 buah kereta.

Aksi ini tidak hanya menyemarakkan semangat patriotisme malah mengangkat martabat rakyat Perlis di mata negara.

Raja Perlis berkenan berangkat menyaksikan persembahan hebat Tentera Darat.

25,000 penonton menyaksikan detik bersejarah

Lebih 25,000 rakyat membanjiri stadium sejak petang, membuktikan kecintaan rakyat terhadap institusi beraja dan kekaguman terhadap kekuatan pertahanan negara.

Setiap aksi disambut sorakan gemuruh, manakala saat motosikal Sarjan Muhammad Akmal melayang di udara mengatasi 25 buah kereta, seluruh stadium seolah-olah bernafas serentak dalam debaran.

Kejayaan ini turut melibatkan komitmen padu pegawai-pegawai Tentera Darat, jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, serta para sukarelawan yang bertungkus lumus menjayakan majlis berprestij ini. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

- Advertisement -