
ALOR SETAR: Sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan secara serius salah satu daripada ‘wishlist’ Kedah untuk mendapatkan insentif fiskal atas pengorbanan mengekalkan tanah sawah, kata Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.
Pesuruhjaya PAS Kedah itu menegasnya, permohonan tersebut mempunyai asas yang sangat kukuh, sekurang-kurangnya untuk Kedah terus menjadi negeri penyumbang terbesar kepada keselamatan makanan padi dan beras negara.
Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, nilai RM200 juta dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah itu juga sebenarnya masih jauh berbanding pengorbanan dilakukan walaupun ia satu tajuk yang banyak ‘khilaf’ mengenai cara pengiraannya.
“Kedah kehilangan hasil fiskal yang tinggi sejak sekian lama. Hasil cukai daripada tanah bersyarat padi sangat kecil berbanding jika tanah itu dikomersialkan.
“Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor pun sudah menjelaskan berkenaan ‘sekatan’ fiskal tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
“Bayangkan 220,000 hektar tanah hanya menjana kutipan RM2.6 juta sedangkan nilai itu cukup dengan 10 hektar sahaja kalau ia ditukar ganti ke tanah komersial untuk pembangunan,” kata beliau pada kenyataannya, hari ini.
Malahnya tegasnya lagi, hasil kutipan fiskal negeri masih belum mencecah nilai RM1 bilion berbanding kebanyakan negeri-negeri lain, walhal, tanah negeri ini boleh menghasilkan kutipan fiskal kepada negeri dioptimum untuk mengisi perut rakyat dalam negara keseluruhannya.
“Inilah perbandingan yang wajar difahami. Malah, pengekalan tanah penanaman padi turut ditekankan dalam Teras 1 Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) yang dipelopori agensi PLANMalaysia,” tambah beliau.
Sungguhpun begitu, kata Dato’ Ustaz Ahmad, Kedah tidak pernah mengeluh untuk menyumbang kepada negara secara amnya.
Keluasan pasel padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sahaja ujarnya mencakupi sehingga lebih 100,000 hektar termasuk di Perlis dengan keluasan bertanam padi pula mencecah kira-kira 200 peratus pada tahun 2022.
“Oleh itu saya tidak mengganggap permohonan ini sekadar atas nama ‘ihsan’ semata-mata. Ini kerana Kedah mempunyai justifikasi sebagai status Jelapang Padi sejak sekian lama,” kata beliau lagi.
Semalam, Sanusi menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan pernah kendur dan akan terus berjuang agar pengorbanan yang dilakukan oleh Kedah ini mendapat penghargaan yang setimpalnya.
Tegas beliau ketika menjawab soalan dalam Sidang DUN Kedah, Kerajaan Negeri sebenarnya mampu memperolehi hasil sebanyak RM1.7 billion sekiranya semua tanah padi diubah syarat dan dikomersialkan,
“Kita tak tuntut duit ‘free’ dari Kerajaan Persekutuan, tetapi kita tuntut atas apa yang kita hilang,” tegas ADUN Jeneri itu lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2025




















