Kelantan perkukuh polisi, dasar sukan patuh syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mula melakukan inisiatif memperkukuhkan polisi dan dasar sukan patuh syariah bagi memastikan agar sebarang aktiviti sukan yang diadakan tidak bercanggah dengan kehendak syariat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, program tersebut menjadi cerminan sebenar dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam.

Tambahan pula kata beliau, Kelantan bakal menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2028 yang akan menyaksikan pelaksanaan sepenuhnya agenda itu secara praktikal dan komprehensif.

“Kita mahu Kelantan bukan sahaja jadi tuan rumah yang cemerlang dari segi pengurusan dan fasiliti, tetapi juga sebagai negeri contoh dalam pelaksana sukan mesra Islam harmoni, inklusif dan berlandaskan prinsip syariah.

“Persidangan dan usaha ini selari dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang meliputi seluruh aspek pembangunan insan termasuk juga bidang sukan, melahirkan insan sihat dan kuat nilai rohani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Persidangan Meja Bulat Siri Kedua: Pelaksanaan Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan diadakan di Hotel H Elite Bandar Baru Tunjong, di sini hari ini.

Antara pakar dari institusi pengajian tinggi yang hadir memberikan idea dan pandangan ialah Prof Dr Abdul Halim Mokhtar dari Jabatan Perubatan Sukan Universiti Malaya (UM) mengenai ‘Pembinaan Dasar Sukan Mesra Islam’.

Seterusnya satu kertas kerja bertajuk ‘Isu dan Cabaran Wanita Islam dalam Sukan’ turut dibentangkan Prof Dr Ishak Sulaiman dari Jabatan al Quran dan Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

Majlis itu menghimpunkan lebih 80 peserta termasuk pihak berkuasa agama, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, majlis sukan, ahli akademik, atlet, jurulatih dan NGO berkaitan dalam bidang sukan.

Zamakhshari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra berkata, selain itu antara agenda penting dibincangkan dalam persidangan itu mengenai pembangunan fasiliti sukan berkonsepkan patuh syariah.

Bahkan katanya lagi, penekanan turut diberikan kepada aspek pemakaian, interaksi antara atlet dan pengurusan sukan selain potensi sukan sebagai pemangkin pelancongan Islam serta menjana ekonomi negeri.

“Sukan adalah medium pembinaan akhlak, perpaduan dan kesihatan masyarakat, kita yakin dengan pendekatan dasar yang tempat, kita mampu menjadi perintis model sukan patuh syariah di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

- Advertisement -