
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu dijangka memperoleh hasil langsung sebanyak RM40 juta setahun menerusi pelaksanaan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro Fasa 1 Blok 1 di Tasik Kenyir yang berkapasiti 640 megawatt (MW).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, antara komponen utama kepada hasil tersebut ialah bayaran caj penggunaan permukaan air kepada Lembaga Air Terengganu (LAUT) yang dianggarkan berjumlah RM37 juta setahun.
Beliau berkata, sekiranya keseluruhan projek dilaksanakan sepenuhnya dengan kapasiti mencecah 2,500MW, jumlah kutipan kepada LAUT sahaja dijangka melebihi RM100 juta setahun.
“Selain itu, kerajaan negeri dijangka menerima bayaran permit sebanyak RM1.2 juta setahun daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sebagai pulangan ke atas permit bagi penggunaan tanah untuk laluan kabel dari ladang solar terapung ke pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kerajaan negeri dianggarkan akan menerima pendapatan melalui cukai tanah, permit, lesen daripada projek ini kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Pengairan & Saliran Negeri masing-masing berjumlah RM750,000, RM200,000 dan RM300,000 setahun,” katanya.
Khazan Che Mat (BERSATU-Seberang Takir) sebelum itu meminta menyatakan status projek solar di Tasik Kenyir sehingga kini dan hasil yang bakal diperolehi oleh kerajaan negeri daripada projek itu.
Menurut Nurkhuzaini, projek Fasa 1 Blok 1 itu turut membuka peluang pekerjaan kepada lebih 150 hingga 200 penduduk setempat, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan dan hasil negeri secara menyeluruh.
Tambahnya, projek berasaskan tenaga hijau itu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil negeri melalui pelaburan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Perkembangan positif dari projek ini juga telah menarik perhatian dan minat dari pelbagai syarikat multi-nasional dari dalam dan juga luar negara untuk melabur di Terengganu.
“Antara yang menunjukan minat adalah Acwa Power Company – Arab Saudi, Masdar-Abu Dhabi, Sungrow Power dan Envision Group – China, Shizen International Inc – Jepun, Gentari, MRCB dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025




















